SEKULARISME MENURUT ISLAM

Sekularisme adalah di antara istilah yang paling popular dan yang paling banyak digunakan di zaman moden ini oleh semua bangsa di dunia. Ini kerana ia relevan dan menyentuh ramai manusia. Orang banyak menyebut tentang fahaman sekular, pemikiran sekular, amalan sekular, kerajaan sekular dan bermacam-macam lagi yang sekular. Dari mana datangnya istilah itu? Bagaimana kaitannya dengan kehidupan kita? Bagaimana ianya relevan dengan kita? Apakah kesannya kepada kita?

Dalam masyarakat kita sekarang berlaku tuduh menuduh dalam hal sekular ini. Orang ini menuduh orang itu sekular. Pihak ini menuduh pihak itu sekular. Parti ini menuduh parti itu sekular. Apa yang sekular? Besar kemungkinan, yang dituduh dan yang menuduh sama-sama tidak faham apa erti sekular. Lebih bahaya lagi, takut-takut kedua-dua pihak mengamalkan cara hidup sekular sama ada sedar atau tidak.

Sekularisme sekarang ini sudah menjadi satu konsep, satu pegangan atau satu fahaman. Bagi sesetengah orang, ianya satu prinsip dan amalan hidup. Tidak salah kalau sekularisme dianggap sebagai satu ideologi atau ajaran.

Umumnya, orang memahami sekularisme sebagai pemisahan antara agama dengan kehidupan. Pemisahan antara dunia dan Akhirat. Fahaman sekularisme tidak mengambil kira tentang Tuhan dan tentang Akhirat. Sekularisme tidak mengaitkan soal kehidupan di dunia dengan kehidupan di Akhirat. Dunia adalah untuk dunia. Dunia habis di dunia. Dalam konsep dan fahaman sekularisme, Akhirat tidak wujud. Tuhan juga tidak wujud.
Islam mempunyai fahaman yang khusus dan tersendiri tentang sekularisme.

Sekularisme bukan wujud seratus atau dua ratus tahun dahulu tetapi ia telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi. Hanya istilahnya sahaja yang baru. Sekularisme sebenarnya telah diperkatakan oleh Rasulullah SAW di masa hidupnya. Cuma kita tidak perasan dan kita tidak sedar. Sebab dalam ajaran Islam banyak perkara yang tersirat. Istilah sekular datang dari Barat. Oleh kerana umat Islam sudah tidak faham Islam, maka mereka merasakan seolah-olah dalam Islam tidak ada cerita tentang sekularisme. Sementelahan istilah sekular tidak ada dalam Quran atau Hadis. Ia bahasa Inggeris. Quran dan Hadis dalam bahasa Arab. Namun, walaupun istilah tidak sama tetapi maksudnya sama. Quran guna saru istilah. Hadis pula guna istilah lain.

Disebabkan sekular itu istilah Barat dan mula dicetuskan di Barat oleh orang Barat, maka kita terdorong untuk memahami sekularisme itu dari pandangan dan kacamata orang Barat. Kerana itulah fahaman kita tentang sekularisme ini sempit sesempit pandangan orang Barat. Bagi orang Barat, sekularisme ini semata-mata hal dunia. Ia bukanlah satu fenomena yang begitu penting. Ia tidak diberi tumpuan atau pandangan yang serius. Ia tidak dikaitkan dengan hal-hal yang lain.

Namun bagi Islam, ia tidak berhenti di situ. Sekularisme dikaitkan dengan soal Tuhan dan soal Akhirat. Sekularisme dianggap berbahaya dan sangat merosakkan. Bahkan sekularisme ditentang habis-habisan.

SEJARAH

Timbulnya istilah sekularisme ada sejarahnya. Satu masa dahulu, agama Kristian (melalui gereja) menguasai negara. Ketika itu menguasai gereja ertinya menguasai negara. Hingga ke abad pertengahan, agama (Kristian) tidak dipisahkan dari kuasa negara. Sampai kepada satu masa, penguasa dan paderi-paderi gereja telah menentang penemuan ilmu terutama teori-teori dalam ilmu sains. Pernah ada ilmuan yang mengatakan bahawa bumi ini bulat. Ada juga penemuan yang mengatakan bumi ini beredar mengelilingi matahari. Gereja tidak dapat menerima penemuan-penemuan ini lantas menghukum ilmuan-ilmuan tersebut murtad lalu mereka dibunuh. Ini membuatkan rakyat tidak senang.

Akhirnya, dengan kuasa dan kebangkitan rakyat, gereja dipisahkan dari negara. Gereja diserahkan kepada pope dan negara diserahkan kepada kaisar. Dari sinilah bermulanya fikiran sekular iaitu pemisahan gereja (agama) dari pemerintahan negara. Negara tidak lagi ditadbir oleh orang agama dan tidak lagi berpandukan doktrin agama.

Namun, sebelum itu konsep sekularisme ini telah lama diamalkan. Hanya ianya tidak disebut sekularisme. Tujuh ratus atau lapan ratus tahun yang sudah, penjajah Barat (Kristian) mula menguasai umat Islam. Bukan sangat kerana penjajah itu kuat tetapi kerana umat Islam ketika itu sudah lemah. Umat Islam lemah dari dalam. Taqwa tidak ada. Islam hanya tinggal nama. Ketahanan diri tidak ada. Benteng sudah pecah dan sudah tumbang.

Waktu itu umat Islam sudah tidak bersatu, sudah cinta dunia dan sudah tidak berkasih sayang. Maka mudahlah musuh masuk. Senanglah mereka melemahkan umat Islam. Sudahlah umat Islam lemah, kemudian dilemahkan lagi oleh penjajah. Maka bertambah lemahlah umat Islam. Lagilah mereka tidak faham Islam.

Waktu penjajah menguasai negara-negara umat Islam, apakah yang mereka buat? Hairannya, mereka tidak buang raja-raja. Malahan mereka jaga institusi raja-raja dengan baik. Mengapa? Supaya dalam negara ada berpihak-pihak. Ada menyokong raja dan ada yang tidak. Supaya raja dan rakyat terpisah. Bila raja dijaga sebegitu rupa, raja rasa mereka dihormati oleh penjajah. Kalau ada rakyat bangkit hendak melawan penjajah, penjajah berhelah dan akan berkata kepada raja, rakyat bangkit untuk menumbangkan raja. Sebahagian rakyat akan sokong raja (yakni penjajah) dan akan menentang rakyat yang memberontak. Penjajah melaga-lagakan rakyat. Raja-raja diper-bodohkan. Inilah konsep 'divide and rule' yang diamalkan penjajah. Bijaknya penjajah.

Tambahan pada itu, dipisahkan raja dari agama. Raja-raja diberi kuasa agama yang terlalu sedikit iaitu di sudut ibadah sahaja. Penjajah mengambil alih kuasa pentadbiran dan pemerintahan. Waktu itu sebenarnya telah bermula sekularisme. Tetapi istilah sekular tidak dibesarkan oleh penjajah. Amalan sekular iaitu pemisahan antara agama dan negara telah lama dipraktikkan oleh penjajah di negara-negara umat Islam yang dijajah. Bila berlaku pergolakan dan pemisahan antara gereja dan negara di Barat sendiri, barulah istilah sekular dipopularkan secara rasmi.

Mari kita lihat ayat Quran yang pertama turun.

Maksudnya: "Hendaklah kamu membaca atas nama Tuhanmu."
(Al Alaq: 1)

Membaca mesti atas nama Tuhan. Ertinya dari membaca kita dapat ilmu. Bila ilmu dilaksanakan, akan terbina tamadun. Dari membaca, menimba ilmu hingga kepada membina tamadun, semuanya mesti dibuat atas nama Tuhan. Ilmu tidak boleh dipisahkan dari Tuhan. Kalau dipisahkan akan jadilah ia ilmu sekular. Kalau ilmu tidak boleh dipisahkan dari Tuhan, betapalah hal-hal yang lain.

Dalam ayat yang lain pula:

Maksudnya: 'Yang mereka itu lalai dari sembahyangnya."
(Al Ma'un: 5)

Jadi sembahyang atau ibadah juga tidak boleh dipisahkan dari Tuhan. Kalau dipisahkan atau lalai akan jadi ibadah atau sembahyang sekular yakni ibadah yang dibuat dengan riyak dan ujub yang tidak dikaitkan dengan Tuhan.
Kita juga diajar oleh Rasulullah SAW membaca dalam sembahyang:
Maksudnya: "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam." (Al An'am: 162)
Ia membawa maksud bahawa apa saja yang kita lakukan dalam kehidupan ini, kita lakukan kerana Tuhan. Malahan apa sahaja yang ada pada diri kita, kita untukkan kepada Tuhan.

Dalam sebuah Hadis dari Abi Musa ada menyebutkan:
Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana engkau melihat seorang lelaki yang berjuang kerana keberanian dan yang berjuang kerana hamiyatan (kebangsaan) dan yang berjuang kerana riyak? Mana dari mereka yang berjuang di jalan Allah?" Maka sabda Rasulullah: "Barang siapa yang berjuang agar kalimah Allah itu menjadi tinggi, maka dialah yang berada dijalan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berjuang supaya kalimah Allah menjadi tinggi ertinya berjuang untuk mengislamkan orang seramai-ramainya, untuk mempromosikan Tuhan, membesarkan Tuhan dan mengagungkan Tuhan. Itulah perjuangan fisabilillah. Kalau berjuang kerana bangsa, kerana marah, kerana nama, kerana hendak dikenang dan lain-lain, itu adalah perjuangan sekular.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal:

Dari Muaz, Rasulullah SAW bersabda:

 "Puji syukur ke hadrat Allah SWT yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya, wahai Muaz!" Jawabku: 'Ya, Sayidil Mursalin." Sabda Rasulullah SAW: "Sekarang aku akan menceritakan sesuatu kepadamu yang apabila engkau hafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau engkau lupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai alasan di hadapan Allah kelak. Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Setiap langit ada satu malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut ukuran pintu dan keagungannya.

Maka malaikat yang menjaga amal si hamba (malaikat Hafazah) akan naik ke langit membawa amal itu ke langit pertama. Penjaga langit pertama akan berkata kepada malaikat Hafazah: 'Saya penjaga tukang mengumpat. Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang mengumpat.' Esoknya, naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata: 'Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya amalan itu ditahan jangan sampai lepas ke langit yang lain. 'Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit ketiga berkata: lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong'."

Rasulullah SAW meneruskan sabdanya: "Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata: 'Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya. Dia soerangyang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan si ujub.' Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji umrah dan lain-lain. Tetapi di pintu langit, penjaganya berkata: 'Itu adalah amalan tukang hasad. Dia amat benci kepada nikmat yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Dia tidak redha dengan kehendak Allah sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan kembali ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad.'
Seterusnya amalan yang tiba di langit keenam, penjaga pintu akan berkata: 'Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan kembali amalan yang indah itu ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang mendapat musibah, dia merasa senang. Sebab itu amalan itu jangan melintasi langit ini'."

Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang dapat lepas hingga ke langit ketujuh. Cahayanya bagaikan kilat, suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah solat, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain. Tetapi penjaga pintu langit berkata: 'Saya ini penjaga sum'ah (ingin kemasyhuran). Sesungguhnya si hamba ini ingin termasyhur dalam kelompoknya dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan itu jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana Allah maka itulah riyak. Allali tidak akan menerima dan mengabulkan orang-orang yang riyak.' Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni solat, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan mulia serta zikir pada Allah. Amalan itu diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah SWT.

Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan solehyang betul-betul ikhlas untuk Allah. Tetapi firman Tuhan: 'Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pemilik hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui.

Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi. Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini mahu menipu Aku dengan amalannya ini? Laknat-Ku tetap padanya.' Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata: Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi mereka.' Dan semua yang di langit turut berkata: 'Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat'."

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan Hadis ini) kemudian menangis teresak-esak dan berkata: "Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat selamat dari apa yang diceritakan ini?" Sabda Rasulullah SAW: "Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan." Muaz bertanya kembali: "Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanyalah si Muaz bin Jabal, bagaimana saya dapat selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?"

Bersabda Rasulullah: 'Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain. Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan Akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan Akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu, jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan mengoyak perasaan orang lain dengan mulutmu, kerana kelak engkau akan dikoyak-koyak oleh anjing-anjing Neraka Jahannam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: 'Di Neraka itu ada anjing-anjing yang mengoyak badan manusia'."

Muaz berkata: 'Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?" Jawab Rasulullah SAW: "Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah SWT. Cukuplah untuk menghindari semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci bila sesuatu yang dibenci olehmu terjadi pada orang lain. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar dari api Neraka."

Hadis ini sangat menakutkan. Setiap amalan diangkat ke langit dua kali dalam seminggu dari langit pertama hingga ke langit ketujuh. Kalau tidak menepati syarat, amalan tersebut dilempar ke muka orang yang mengamalkannya. Tuhan berfirman: "Hai malaikat, engkau melihat lahirnya bagus tapi Aku melihat hatinya tidak ikhlas."
Tidak ikhlas itu ertinya sekular. Ibadah yang sekular, Tuhan lempar ke muka orang yang mengamalnya. Tuhan tidak terima.

Jadi fahaman sekular ini sudah lama. Siapa yang ibadah, sembahyang atau perjuangannya bukan kerana Allah, maka ia menjadi sekular walaupun amalan lahirnya nampak sama. Kalau kita padankan perkara ini dengan keadaan umat Islam di saat ini, sebahagian besar ibadah, perjuangan dan pendidikan umat Islam adalah sekular.
Berapa ramai kita lihat orang bermegah sudah pergi haji sepuluh kali. Berapa ramai ahli politik pergi umrah supaya dianggap beragama untuk memancing undi rakyat.

Berapa ramai orang menderma dan bersedekah untuk dimuatkan dalam surat khabar. Ini semua adalah haji, umrah dan sedekah sekular. Di Malaysia, kalau orang besar hendak buat program, acara rasminya termasuk sembahyang supaya rakyat anggap dia baik dan dia bersembahyang. Jadi sembahyang telah di-sekularkan kerana ia bernilai dunia, tidak lagi bernilai Akhirat. Fahaman sekular sudah masuk ke dalam semua aspek kehidupan. Kalau kita tidak berhati-hati, segala apa yang kita buat akan jadi sekular.

Berapa ramai orang mengaji tafsir, jadi tafsir sekular, mengaji Islam jadi Islam sekular. Berapa ramai orang buka pondok dan pesantren dan yang diajar adalah Islam tetapi jadi sekular kerana tidak dikaitkan dengan Tuhan, tetapi dengan wang dan keuntungan. Hendak berjuang dan hendak beribadah yang tidak sekular bukan mudah. Kalau tidak dikaitkan dengan Tuhan dan dengan Akhirat, maka ia tetap akan jadi sekular. Berjuang kalau tidak membawa kasih sayang, kasar, militan, mendedah aib dan kesalahan orang, mengata dan menghina orang, itu perjuangan sekular.

Fahaman sekular Barat sangat sempit. Sekularisme dalam Islam lebih global. Ia mencangkup soal ibadah, pendidikan, haji, perjuangan, umrah dan sebagainya. Kalau Barat kata sekular, Islam kata riyak, ujub dan sum'ah. Riyak, ujub dan sum'ah itu adalah sekularisme. Kalau ibadah haji, perjuangan, dakwah dan perkara-perkara yang sepertinya sudah jadi sekular, maka hal-hal yang lain seperti ekonomi, hiburan, pergaulan dan kemasyarakatan lebih senang lagi jadi sekular. Bahkan perkahwinan pun boleh jadi sekular kalau berkahwin bukan atas nama Tuhan. Itu sebab mudah bergaduh dan berlaku perceraian.

Oleh itu kita janganlah tertipu dengan istilah Barat. Barat baru sebut sekular sejak 200 tahun dahulu. Islam telah sebut sekular sejak zaman Rasulullah iaitu sudah hampir 1,500 tahun. Cuma istilahnya sahaja yang tidak sama.

No comments:

Post a Comment