Waktu itu umat Islam sudah tidak bersatu, sudah cinta dunia dan sudah tidak berkasih sayang. Maka mudahlah musuh masuk. Senanglah mereka melemahkan umat Islam. Sudahlah umat Islam lemah, kemudian dilemahkan lagi oleh penjajah. Maka bertambah lemahlah umat Islam. Lagilah mereka tidak faham Islam.
Cinta Dunia Ibu Segala Kejahatan
Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sepotong Hadis:
Maksudnya: "Cintakan dunia ibu segala kesalahan." (Riwayat Al 'Uqaili)
Ada tiga perbahasan daripada Hadis ini iaitu:
1. Cinta
2. Dunia
3. Kesalahan
1. CINTA
Cintakan dunia ibu segala kesalahan. Bila dikatakan cinta, itu mudah difahami kerana cinta merupakan pengalaman kita. Ia perasaan hati atau roh yang payah digambarkan. Cinta itu untuk siapa, itu soal lain. Kadang-kadang orang jatuh cinta pada kereta, kadang-kadang pada isteri, pada rumah, pada duit, pada harta, pangkat, nama, glamor, jawatan dan lain-lain. Tidak ada orang yang tidak pernah merasa cinta sama ada kepada harta, ibu bapa, anak, isteri dan lain-lain. Perasaan cinta adalah fitrah semula jadi yang Tuhan bekalkan di dalam diri setiap manusia.
2. DUNIA Apa itu dunia? Seluruh ciptaan Tuhan yang ada di muka bumi Tuhan ini adalah dunia. Oleh kerana dunia ini terlalu luas, tidak mungkin semuanya boleh dicintai. Hanya perkara tertentu sahaja kita cintai. Kecintaan yang besar adalah kepada perkara-perkara seperti pangkat, kekayaan, rumah cantik, kenderaan mewah, jawatan dan kedudukan. Manakala cinta biasa berlaku kepada ibu bapa, anak dan isteri. Tuhan suruh kita ambil dunia sebab padanya boleh terlaksana kebaikan, boleh berkhidmat dan boleh dapat keredhaan Tuhan. Dari dunia boleh menghasilkan kasih sayang dan bertolong bantu. Bahkan dunia boleh memberi kekuatan kepada bangsa dan boleh digunakan untuk berkhidmat kepada umat. Dengan dunia yang ada kita boleh kuatkan agama, bangsa dan negara. Ini akan berlaku bila dunia diambil untuk mendapat keredhaan Tuhan, bukannya dunia diambil untuk dicintai. Tuhan hanya membenarkan manusia mengambil dunia untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat sesama manusia. 3. IBU KESALAHAN Hadis ada menyebut ibu segala kesalahan (khatiiah). Rasulullah tidak sebut ibu segala maksiat atau ibu segala kemungkaran. Mengapa Rasulullah pilih perkataan salah? Ini adalah kerana, dunia bila dicintai adalah suatu kesalahan besar. Bila dunia diambil dengan cara yang salah; iaitu kerana cinta padanya; maka cinta dunia akan melahirkan buah-buah kesalahan yang banyak. Dari cinta dunia akan memperanakkan hal-hal negatif dengan banyaknya. Mari kita lihat beberapa contoh yang berlaku dalam kehidupan harian. a. Kereta mewah Seseorang beli kereta mewah untuk dicintai. Kemudian jadi megah dan sombong. Timbullah kejahatan. Itu anak kepada kesalahan tadi. Bila megah dan sombong, beranak-anak lagi kejahatan yakni orang lain sakit hati, meluat dan tersinggung. Berapa banyak hasil negatif, buah dari cinta dunia. b. Harta Tuhan tidak melarang mengambil harta untuk keredhaan Tuhan dan untuk berkhidmat kepada manusia. Kalau bertukar matlamat kepada cintakan harta, maka akan datang tamak, kemudian bakhil. Beranak-anak pula rasa tidak cukup dengan apa yang ada. Hingga akhirnya tiada tempat dan ruang untuk Tuhan. Bila harta dimiliki dengan rasa cinta, kasih sayang yang diperlukan sesama manusia punah dan hancur. Padahal kalau harta itu diagih-agihkan kepada manusia, orang miskin akan terbela dan bangsa yang lemah akan jadi kuat dengan harta tersebut. c. Jawatan Jawatan pula, kalau diambil kerana Tuhan, ia akan membuatkan orang berbakti kepada Tuhan dan boleh menolong sesama manusia. Akan datang kasih sayang dan pembelaan. Tetapi kalau jawatan dan pangkat dikejar kerana cinta pada jawatan dan pangkat tersebut, kalau tidak dapat, kita susah hati kerana tidak dapat apa yang dihajati. Itu kejahatan di sisi Tuhan. Tuhan bukan suruh kita susah hati dengan hal dunia. Yang perlu disusahkan apakah Tuhan sudah redha dengan kita atau tidak. Bila tidak dapat jawatan, susah hati. Bila dapat jawatan, megah. Bila megah, akan menzalimi orang bawah. Dalam mempertahankan jawatan, terpaksa jatuhkan orang lain dan rasuah. Lihat berapa banyak lahir perkara negatif bila jawatan itu masuk ke hati dan dicintai. Virus cinta dunia akan mengharu-birukan dunia dan mencetuskan perang yang tidak pernah berhenti. Rehat berperang di satu tempat, berlaku di tempat lain. Bergaduhlah antara negara dengan negara, bangsa dengan bangsa, kampung dengan kampung, antara kelompok, antara keluarga dan sebagainya kerana cinta dunia. | ................................................ Apabila Dunia Dicintai Apabila dunia dicintai Maka ia akan dijadikan matlamat hidup Dunia pun menjadi buruan dan rebutan Bila ia dijadikan rebutan timbullah saingan dan perlawanan Saingan dan perlawanan itu akan membawa perbalahan dan permusuhan Di dalam perebutan timbullah hasad dengki jatuh-menjatuhkan, khianat-mengkhianati Kemuncaknya pergaduhan membunuh dan peperangan Lebih-lebih lagi yang merebut itu para ulama pemimpin dan orang-orang kaya Maka krisis kerana dunia lebih hebat lagi berlaku di dalam kehidupan Maka punahlah kasih sayang hilanglah timbang rasa Persaudaraan hilang, simpati gersang kerjasama terpaksa Hidup nafsi-nafsi pun subur dan menjadi budaya Masing-masing menjaga kepentingan diri sendiri Hidup harmoni, kasih sayang, bertimbang rasa hilang Akhirnya semua manusia di dunia hidup di dalam ketakutan dan penderitaan Cuma ketakutan dan penderitaan di antara satu sama lain tidak sama Orang miskin susah kerana tidak ada yang hendak dipakai dan yang hendak dimakan Yang sakit terbiar tidak ada wang untuk berubat Ulama-ulama dihina dan tidak dihormati lagi Guru-guru, ibu bapa tidak dikasihi Anak-anak atau rakyat jelata tidak akan disayangi Orang-orang kaya dibenci harta mereka akan dirompak dan dicuri Nyawa mereka sentiasa terancam Para-para pemimpin tidak dihormati dan ditaati Bahkan menjadi sasaran permusuhan dari rakyatnya Maka dunia pun menjadi neraka kerana penyakit cinta dunia |
Kasih Sayang Sangat DiperlukanKasih sayang sangat diperlukan di samping imanPenyubur jiwa, pengikat hati, membuahkan perpaduan Jika tiada, jiwa derita, fikiran kusut, badan sengsara Kemana sahaja pergi, serba tidak kena, serba tidak selesa Justru itu Islam sangat menganjurkan kasih sayang Kerana perlunya ia satu perkara yang sangat diwajibkan Lahirkanlah sebabnya, usahakanlah ke arah mewujudkannya Ia satu perjuangan yang digalakkan, dari situlah timbulnya perpaduan Pemurahlah ia boleh menggembirakan jiwa Satu sifat mahmudah yang boleh mencetuskan kasih sayang Bermesralah sesama manusia, ia boleh mengikat jiwa Berilah kemaafan tanpa diminta dari kesalahan mereka Kita juga perlu meminta maaf kepada manusia Ketika kita bersalah dengan mereka Jangan tunggu mereka meminta dari kita Apabila kita bersalah jangan malu memohon maaflah kepada mereka Ziarah menziarahi sangat dianjurkan sambil membawa buah tangan Salah faham hilang semuanya, kasih sayang akan berbunga Apabila kasih sayang berbunga di jiwa Walaupun miskin dan papa, tiada terasa di dalam kesusahan. Tiada kasih sayang manusia menderita Tiada kasih sayang tiada saudara Tiada kasih sayang tiada ukhuwah, tiada perpaduan Tanamkanlah kasih sayang secara mengkota bukan berkata Kasih Sayang Makanan JiwaKasih sayang adalah makanan jiwa atau hati Simpati ibarat lauk kepada jiwa Peri kemanusiaan ibarat ulam kepada hati Kalau ketiga-tiga ini diperolehi oleh setiap manusia makanan hati adalah sempurna Apabila makanan hati sempurna Hati atau jiwa subur dengan ketenangan dan kebahagiaan Jika kasih sayang sahaja yang didapati sebagai makanan jiwa Tapi lauk atau ulam hati tidak didapati Ketenangan dan kebahagiaan itu kurang dirasa Tapi kalau secara umum manusia memperolehinya sudah pada Kalau di dalam masyarakat pergaulan hanya didapati simpati dan peri kemanusiaan sahaja Bukan dari kasih sayang sebagai makanan asas jiwa Manusia akan derita Kalau perikemanusiaan sahaja yang ada Manusia akan kecewa Tapi apa akan terjadi, kasih sayang tiada, simpati tidak wujud, perikemanusiaan gersang Orang yang tidak beriman dia akan putus asa Lantaran itulah secara umum manusia boleh dibahagi enam kategori Ada orang yang mendapat ketenangan dan kebahagiaan Ada orang yang sekadar mendapat kebahagiaan Tidak kurang yang mendapat ketenangan semata-mata Ada orang yang mendapat penderitaan Juga ada yang mendapat kekecewaan sepanjang masa Yang paling teruk ada orang yang putus asa Biasanya yang putus asa itu orang yang tidak beriman Siapa Sebenarnya Engkau Ini?!Aku lihat engkau selalu melaungkan perpaduan kaum dan bangsa! Aku dengar engkau selalu sahaja mengingatkan orang jangan cetuskan perpecahan! Tapi aku lihat sikap engkau seolah-olah engkau tidak tahu erti perpaduan dan tidak faham erti perpecahan Engkau ajak orang berpadu gelagat engkau membawa perpecahan Engkau selalu sahaja berslogan persatuan, cakap-cakap engkau merenggangkan orang Engkau tidak fahamkah apa yang engkau cakapkan?! Seruan engkau aku lihat double standard! Siapa sebenarnya engkau ini?! Pejuang perpaduankah, pejuang perpecahan? Engkau berlakonkah di pentas kehidupan, macam orang berdrama di dalam berlakon Apakah engkau berlakon atau itu realiti kehidupan engkau? Rakyat melihat, orang ramai menilai Nanti orang ramai kenal siapa sebenarnya engkau Engkau pelakon? Engkau pejuang? Engkau petualang? Berhentilah berslogan, sebelum orang kenal Jika orang kenal, nahas engkau, engkau akan dipinggirkan orang atau disingkirkan orang Pejuang Dahulu Dan Pejuang SekarangDahulu Rasulullah SAW dan para Sahabatnya berjuang Disajikan dengan lemparan batu dan debu Hari ini selepas berjuang disaji dengan daging, ayam dan nasi beriani Mereka berjuang dihalau orang dan dibuang orang Ada orang kita berjuang menghalau orang Melempar orang, memenjarakan orang Pejuang-pejuang dahulu disakiti Pejuang-pejuang sekarang menyakiti orang Pejuang-pejuang Islam dahulu berkorban Harta-harta mereka diinfakkan Pejuang-pejuang sekarang membuat harta Bahkan menipu harta negara dan rakyat jelata Pejuang-pejuang dahulu menutup aurat Pejuang-pejuang sekarang mendedahkan aurat Pejuang-pejuang sekarang menggalakkan membaca Al Quran Kalau dahulu menggalakkan mengamalkan isinya Pejuang-pejuang dahulu musafir dan mengembara kerana berdakwah Pejuang-pejuang sekarang musafir dan mengembara Kerana ekonomi dan mencari makan Pejuang-pejuang dahulu berukhwah Pejuang-pejuang sekarang berpecah-belah dan berbalah Tapi masing-masing mengaku konon memperjuangkan Islam Atau mengaku memperjuangkan keadilan Berapa lama lagi mereka ini mahu tipu orang? Allah tidak akan membiarkan berlama-lama menipu orang Lambat-laun Allah akan buka tembelang Pejuang-Pejuang Palsu Akan TerkejutPejuang-pejuang Islam di atas pentas akan terkejut nanti Pejuang-pejuang Islam yang palsu akan tahu nanti dan akan tergigit jari Orang-orang yang mengguna Islam untuk kepentingan peribadi lebih-lebih lagi Pejuang-pejuang Islam yang menggunakan Islam untuk menghentam orang akan kecundang Bahkan orang yang menjual nama Islam untuk kepentingan politiknya Juga akan terkejut nanti Satu peristiwa besar yang tidak terduga akan berlaku Di awal kurun ini perjuangan kebenaran dan pemimpinnya akan ditonjol Tuhan Dia akan membetulkan semula yang tersilap Akan menumpaskan segala yang salah dan tidak memberi faedah Mentautkan semula yang renggang Menyatukan semula yang berpecah-belah Menghidupkan semula Sunnah dan membanteras yang bidaah Memerangi kemungkaran dan kemaksiatan yang terang-terangan Membela fakir miskin dan memaksa orang yang kaya Menghidupkan semula jiwa yang sudah mati Menumpaskan mazmumah-mazmumah yang telah merosakkan manusia Menegakkan kebenaran dan keadilan di dalam pergaulan dan di dalam sebarang hal Mencetuskan semula ukhwah dan keharmonian sesama manusia Menyuburkan semula rasa bertuhan Hidupkan semula rasa kehambaan Tuhan disembah, dipuja, dicintai, ditakuti dan dijadikan idola Akan meriah semula syiar dan ayatullah di dalam kehidupan Pejuang-pejuang palsu akan senyap dan penuh malu Kerana tidak boleh berlakon dan berpura-pura lagi di hadapan rakyat Engkau Ingin Perpaduan Tapi Engkau Bawa PerpecahanEngkau inginkan perpaduan Cakap-cakap engkau membawa perpecahan Engkau menyeru perpaduan dan kesatuan, sikap engkau memecah-belahkan Engkau ajak umat bersatu padu, saranan engkau merenggangkan Engkau mengingatkan rakyat jangan berpecah Tapi pidato engkau menghentam orang Engkau ajak umat Islam bersatu Tapi pengikatnya engkau putuskan Engkau ingatkan manusia jangan timbulkan perpecahan Sikap engkau merobek-robek perpaduan Engkau ingatkan kesatuan umat Tapi pengikatnya engkau tidak tunjukkan Fahamkah apa yang engkau cakapkan Atau engkau hanya berangan-angan Atau engkau menyorokkan kelemahan Maka engkau pun menslogankan perpaduan Agar rakyat menganggap engkau wira umat Engkau mengajak rakyat bersatu-padu Tapi engkau dalang perpaduan Engkau bapa perpecahan Ingatlah perpaduan terjadi bukan slogan Bukan selalu di dalam perjumpaan dan pertemuan Perpaduan terjadi ada tali pengikatnya Iaitu sama-sama cintakan dan takutkan Tuhan Syariatnya menjadi pakaian setiap umat Islam Itulah dia anak kunci perpaduan Selain itu hanya angan-angan | Tanamkanlah Kasih SayangTanamkanlah kasih sayang sesama manusiaDari kasih sayang akan timbul perpaduan Jagalah perpaduan kerana daripada perpaduan lahir kerjasama Kerjasama itu penting, dari kerjasama cepat lahir kemajuan Kerja yang berat menjadi ringan Sepatutnya lambat menjadi cepat Tanamkanlah kasih sayang sesama insan Permusuhan sesama manusia akan hilang Dari sinilah hilang keraguan sesama manusia Hilang curiga, prejudis tidak ada, wujudlah baik sangka Berbaik sangka timbullah hormat-menghormati sesama manusia Berbaik sangka mudah menjadi tetamu di kala musafir di tempat orang Tanamkanlah kasih sayang sesama hamba Allah Akan lahirlah timbang rasa sesama manusia Yang susah akan dibela, yang kaya membela, hasad dengki hilang dari orang yang susah Tanamkanlah kasih sayang tidak kira apa bangsa dan apa agamanya Permusuhan akan hilang di kalangan manusia Hidup harmoni, curiga-mencurigai hilang wujudlah keamanan Apabila dunia aman hilang ketakutan Kasih sayang yang paling kuat ialah cintakan Tuhan Dari cintakan Tuhan, lahirlah kasih sayang sesama manusia yang luar biasa Cintakan Allah/Tuhan, automatik akan lahir kasih sayang sesama manusia Indahnya Berkasih SayangAlangkah indahnya berkasih sayang sesama kita, yang ada hubungan cinta dengan Tuhan Kasih sayang begini adalah murni Insya-Allah kekal abadi sepanjang hayat hingga sampai mati Kasih sayang sesama kita itu menjadi kuat, kerana diikat oleh kecintaan dengan Tuhan Faktor Tuhanlah kasih sayang di antara dua insan atau di antara sesama manusia kekal abadi dan murni Kasih sayang sesama manusia kalau mahu kekal, hubungan cinta dengan Tuhan kenalah kekal Kasih sayang yang begini ia adalah sejati, sampai ke mati Kasih sayang yang tidak diikat dengan kecintaan kepada Tuhan, cinta palsu Biasanya tidak kekal, tidak sampai ke mati Sekalipun suami isteri Kalau kekal pun kerana keadaan memaksa, indahnya tiada Kasih sayang adik-beradik atau sanak saudara pun pudar jika pengikatnya tiada iaitu cintakan Tuhan Cintakan Tuhanlah rahsia cinta sesama manusia kekal abadi dan murni Cintakan Tuhanlah pengikat kasih sayang hingga berpanjangan Susah hendak diputuskan, payah sekali hendak dihilangkan Cintailah manusia atas dasar cintakan Tuhan, ia bersih, murni dan sejati kekal abadi Mengapa Ambil Berat Kezaliman Orang?Engkau mempersoalkan ketidakadilan orang lain? Mengapa engkau mengambil berat sangat kezaliman orang? Engkau laung-laungkan, engkau pekik-pekikkan Engkau ajak dan hasut orang ramai bersimpati dengan engkau Mereka pun riuh-rendahkan ke seluruh negara Engkau dan mereka caci-maki si penzalim Engkau dan orang ramai sakit hati dengan ketidakadilan mereka Engkau atur strategi menentang mereka Engkau tuduh dan tohmah berbagai cara Tapi perlu ingat, engkau dan orang ramai sudah adilkah? Apakah engkau dan orang ramai tidak melakukan kezaliman? Sudahkah engkau dan orang ramai adil dengan diri sendiri? Sudahkah berlaku adil dengan anak dan isteri? Dengan kawan-kawan dan dengan orang-orang yang pernah terzalim? Engkau tahukah beza, zalim martabat tinggi itu ialah orang yang tidak kenal Allah Orang yang tidak menjadikan Tuhannya itu idolanya Orang yang tidak mengagungkan, menyanjung dan tidak menyembah Allah Zalim yang engkau perkatakan itu terlalu kecil sahaja Tidak adil di bidang ekonomi, pembahagian projek yang tidak seimbang diagih Pemimpin yang mementingkan kroni-kroninya sahaja yang engkau benci Ini adalah ketidakadilan yang remeh-temeh dibandingkan orang yang tidak mempedulikan Tuhan Ini bererti engkau menentang penzaliman yang kecil Sedangkan kezaliman engkau lebih besar lagi Sebenarnya Engkau Yang BermasalahEngkau gaduh perjuangan engkau tidak diterima orang Sedih hati engkau dakwah engkau ditolak orang Engkau merungut ceramah engkau, kurang orang mengambil perhatian Bahkan perjuangan engkau dicaci orang di belakang engkau Apabila berlaku ini semuanya engkau marah-marah kepada orang Siapa sebenarnya yang salah? Engkau yang bersalah atau orang yang bersalah? Penceramah yang bermasalah atau pendengar yang bermasalah? Sebenarnya engkau yang bermasalah Orang ramai melihat engkau amat menakutkan Orang ramai melihat engkau amat menjijikkan Badan engkau penuh dengan kudis dan tokak yang terlalu kronik Badan engkau penuh dengan nanah, darah, danur yang amat busuk Diserta pula dengan ulat-ulat yang amat meloyakan Engkau tidak nampak Kerana penyakit di badan engkau adalah penyakit rohani dan maknawi Badan engkau yang penuh darah dan nanah itu ialah dosa-dosa engkau Dosa mengumpat, dosa mengata, dosa memfitnah Ditambah lagi dengan dosa sombong, ego, riyak, gila nama dan glamour Belum lagi dosa-dosa sembahyang yang tidak khusyuk Bahkan entah apa lagi dosa-dosa yang engkau buat Jadi bagaimanalah orang mahu menerima perjuangan engkau Di dalam keadaan badan engkau penuh dengan darah dan nanah? Bersihkan badan engkau lebih dahulu Sucikan hatimu lebih dahulu Keluarkan segala mazmumah-mazmumah yang sangat merbahaya Yang merosakkan manusia Selepas itu barulah orang boleh menerimanya Pejuang Tidak Sama Dengan SimpatiPara-para pejuang kebenaran tidak sama orang yang simpati atau orang yang hendak disedarkan Para-para pejuang adalah payung atau tempat orang berteduh dan berlindung Ertinya para-para pejuang sanggup hidup susah, sanggup menderita kerana keyakinannya dan kerana orang yang hendak diinsafkannya Para-para pejuang tidak perlu lagi diumpan dengan kesenangan, pada mereka senang dan susah sama aja Yang perlu diumpan-umpan dengan kesenangan atau penghormatan adalah para simpati atau orang yang baru datang atau orang yang hendak diajak kepada Tuhan Strategi ini Rasulullah pernah melakukannya, di antaranya apa yang dilakukannya kepada Abu Sufian Kerana umpan-umpan dengan kesenangan itu atau dengan penghormatan mereka boleh berjinak-jinak dengan perjuangan dan rapat dengan ahli perjuangan Dari sini ada peluanglagi mendidik dan meningkatkan keimanan dan kesedaran mereka Insya-Allah lam-kelamaan mereka akan sampai kepada kemuncak kesedarannya Di waktu itu mereka pula sanggup menjadi payung iaitu pelindung kepada orang ramai terutama orang yang baru sedar Di dalam Islam zakat bukankah satu asnaf di antara 8 asnaf boleh diberi kepada muallaf orang yang baru masuk Islam Muallaf itu sekalipun mereka kaya dan orang besar Kerana mereka baru masuk Islam hendak diambil hatinya Seolah-olah orang baru di dalam Islam atau di dalam perjuangan Islam baru peralihan di antara cinta dunia dengan cintakan Tuhan Diumpan dengan harta itu supaya mereka beralih perlahan-lahan tidaklah secara direntap atau drastik Lama-kelamaan nanti setelah dididik lagi mereka pun akan menjadi orang lama di dalam Islam mereka akan berubah Begitulah mendidik di dalam ajaran Islam ini berlaku secara evolusi bukan secara revolusi Di sinilah bijaksana-Nya Allah Taala mendidik manusia Ia berlaku bertahap-tahap dan perlahan-lahan tidak secara drastik Begitulah secara umumnya mendidik manusia ini berlaku secara perlahan-lahan Kecuali berlaku kepada satu dua orang secara cepat ini tidak diambil kira, Islam memandang secara majoritinya Di sinilah para-para pejuang perlu faham Bijaksana di dalam perjuangan perlu ada bahkan kenalah dilaksana Para-para pejuang mestilah cerdik dan berhalus mendidik manusia Kalau tidak ramai orang akan menolak perjuangan Islam terutama orang-orang kaya dan cerdik pandai Bersenilah di dalam perjuangan, bijaksanalah di dalam mendidik, berhati-hatilah memujuk orang Begitulah perjuangan Islam, banyak perkara yang tersirat yang perlu difaham Agar perjuangan tidak kecundang Engkau Sanjung Pemimpin Yang Gila KuasaDemi negara dan bangsa, juga pemimpin yang gila Demi nama, glamour dan ingin jadi wira Gunung setinggi mana pun engkau daki Lautan seluas mana pun engkau jelajahi Sungai sepanjang mana pun engkau harungi Hutan belantara engkau teroka Tapi demi keredhaan Tuhan Boleh didapati di rumahmu sendiri engkau tidak mampu Pahala di depan mata pun engkau tidak peduli Untuk Tuhan serba tak boleh Untuk negara dan bangsa Bahkan untuk pemimpin yang derhaka Kita boleh kata: Malaysia boleh, kita boleh Apa yang boleh dibuat oleh bangsa lain bangsa kita pun boleh Engkau sanjung hak negara dan bangsa Tapi engkau korbankan hak Tuhan Engkau sanjung kehendak-kehendak pemimpin negara yang gila kuasa Engkau korbankan hak agama Bolehkah bangsa dan negara membelamu! Bolehkah pemimpin negara menyelamatkan kamu Nasib pun belum tahu Engkau Pemecah Belah RakyatEngkau sarankan perpaduan rakyat demi keharmonian Tapi engkau sendiri pecah belah rakyat Engkau tidak senang dengan tuduhan dan fitnah Walhal engkau adalah bapa pembawa fitnah Engkau ajak rakyat jangan berbohong Tapi engkau telah jadikan berbohong itu sebagai budaya Engkau kumandangkan Islam, tapi amalan engkau adalah kekufuran Engkau marah orang lain fanatik dengan pemimpinnya Tapi pengikut engkau fanatik dengan engkau Engkau rasa senang dan membenarkan Baru aku tahu fanatik itu bukan tidak boleh Ia boleh dilakukan tapi bukan kepada pemimpin lain Ia boleh dilakukan, bahkan mesti dilakukan kepada engkau sebagai pemimpin Yang tidak boleh kepada orang lain, tapi kepada engkau boleh Sampai bila engkau hendak menipu rakyat? Aku ingatkan kepadamu Ini adalah akhir zaman, awal kurun Hijriyah Ini adalah giliran Islam Kalau engkau tidak kembali kepada Tuhan Engkau pasti jatuh Engkau akan terhukum di dunia lagi dengan penuh kehinaan Sedarlah! Kalau mahu sedar Sebelum terlambat |
No comments:
Post a Comment