Selepas kewafatan Rasul S.A.W., pewarisnya adalah pemimpin yang takutkan Allah; nescaya dia mampu jadi penyelamat kepada kaumnya mengikut bidang kemampuan yang Allah kehendaki. Pemimpin penyelamat juga adalah ulama. Kerana itulah di dalam Islam, ulama itu ada dua kategori:
i. Ulama berwatak Rasul.
ii. Ulama berwatak Nabi.
Ini tidak termasuk ulama suk, mereka adalah perosak umat. Rakyat jadi jahat dalam pimpinan mereka. Mereka berkata tidak mengkota. Mereka menyeru dan mengajak orang membuat kebaikan tetapi mereka tidak membuatnya. Mereka menganjurkan kebaikan tetapi mereka membuat kejahatan dan kerosakan. Di mulut-mulut mereka melaungkan slogan kasih sayang dan perpaduan namun yang mereka lakukan adalah menimbulkan perbalahan dan perpecahan sesama umat Islam sendiri.
Ummu Salamah, isteri Rasulullah S.A.W. berkata bahawa Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda
"Nanti akan tiba suatu masa, terdapat pemimpin dikalangan-mu dan kamu kenal pemimpin itu, namun kamu menentangnya kerana dia melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. Sesiapa yang membenci pemimpin itu, dia terselamat dari dosa. Sesiapa yang menentang pemimpin itu, dia terselamat. Tetapi jika ia meredhai pemimpin itu, maka dia berdosa dan tidak selamat".
Diriwayatka oleh Imam Muslim
Pemimpin penyelamat menguatkan Iman manusia, namun pemimpin yang pemecah belah meragukan Iman manusia. Mereka mengungkai kepercayaan dan kefahaman umat Islam hingga jadi ragu-ragu terhadap pegangan mereka sendiri.
Kalau para pejuang itu, walaupun mengaku memperjuangkan kebenaran tetapi sekiranya mereka bukan bersifat penyelamat, ertinya mereka itu bukan pejuang kebenaran. Mereka itu bukan orang-orang Tuhan. Mereka adalah penipu-penipu yang menjual nama Tuhan untuk kepentingan diri atau untuk kepentingan kelompok-kelompok mereka.
Inilah peranan penyelamat yakni menyelamatkan manusia daripada huru-hara kepada aman damai dan berkasih sayang. Para pemimpin dunia Islam kini hanya boleh memimpin tapi tidak boleh mengeluarkan ilmu dan didikan. Kalaupun ada penasihat-penasihat di kalangan ulama tapi sudah tidak mampu mendidik umat bahkan menambah lagi kerosakan.
|
Pemimpin penyelamat yang pertama sekali dia menyelamatkan akidah manusia. Dia perjuangkan agar Tuhan dikenal oleh manusia. Kerana jika manusia tidak kenal Tuhan penciptanya mana boleh untuk berlakunya keamanan dan keselamatan. Kerja menyelamatkan Iman ini ada peringkat-peringkatnya pula. Pertama, diperjuangkan agar Allah itu dikenali. Allah disembah dan diagungkan, bukan jin, batu dan selainnya yang dibesarkan dan dipuja. Kedua, setelah Tuhan dikenali diperjuangkan hingga Allah dicintai dan ditakuti pula. Inilah kerja terbesar bagi pemimpin penyelamat. Tetapi jika sudah melakukan kerja-kerja menyekutukan Allah itu bukan lagi penyelamat bahkan dialah perosak Iman manusia.
Kedua, mereka hendak menyelamatkan manusia daripada cintakan dunia dan mengutamakan dunia, kepada mengutamakan Akhirat dan cintakan Akhirat. Selepas Tuhan kempen dan promosi sungguh-sungguh diri-Nya, Tuhan promosi pula Akhirat-Nya. Penyelamat itu menyelamatkan Iman manusia agar di akhirat tidak menyesal selamanya. Kehidupan di dunia dikorbankan untuk kehidupan yang kekal di akhirat, manusia sanggup korbankan harta mereka bahkan tenaga dan jiwa mereka dikorbankan untuk Tuhannya, untuk agamanya. Maka datangnya penyelamat yakni datangnya pejuang-pejuang Tuhan itu adalah untuk membetulkan fikiran manusia. Daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat. Daripada mengutamakan dunia kepada mengutamakan Akhirat. Jadi tujuan kedua datangnya pejuang-pejuang kebenaran yang kedua ialah hendak membuatkan manusia cintakan Akhirat lebih dari cintakan dunia.
Ketiga, untuk membawa syariat Tuhan. Syariat Tuhan itu dipromosikan agar manusia hidup aman damai, berkasih sayang, harmoni dan bahagia. Syariat Tuhan sahaja yang boleh menyatukan orang, menghidupkan kasih sayang, hidup bekerjasama, hormat-menghormati, berperikemanusiaan, aman damai dalam keluarga, aman damai dalam masyarakat dan dalam kehidupan. Jadi pejuang-pejuang kebenaran mempromosikan syariat supaya syariat menjadi ilmu yang dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Maka itulah jalan selamat. Syariat itu khazanah, himpunan ilmu dan merupakan peraturan, disiplin hidup dan sistem hidup. Kalau diamalkan manusia boleh buat syurga sebelum Syurga yang hakiki. Kalau diamalkan, manusia boleh cipta syurga di dunia. Kalau diamalkan, manusia boleh dapat syurga yang didahulukan (Al-Janatul Ajilah).
Syariat Tuhan adalah pegangan mereka dan prinsip mereka. Sebagai contohnya, syariat Tuhan perjuangkan kasih sayang namun yang dilakukan adalah perpecahan dan penzaliman, ini sangat lari dari syariat Tuhan. Kalau dalam Quran sebut imam sembahyang adalah lelaki, maka lelakilah juga imamnya bukan perempuan. Sembahyang adalah perkara utama dan tiang agama, kalau tiang agama pun dijadikan perempuan sebagai imamnya rosaklah agamanya!
Firman Tuhan :
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki atas orang-orang perempuan,"
An- Nisa' : 34
Yang keempat, untuk menyelamatkan akhlak umat. Manusia hendak diselamatkan daripada akhlak yang jahat kepada akhlak yang baik. Daripada akhlak yang hina kepada akhlak yang mulia. Daripada akhlak yang bertaraf haiwan kepada akhlak bertaraf malaikat. Inilah tugas pejuang-pejuang kebenaran sepanjang zaman. Menguruskan akhlak manusia, daripada bakhil kepada pemurah. Daripada sombong kepada tawadhuk. Daripada ingin glamor kepada menghinakan diri kepada Allah. Daripada rasa benci dan suka prejudis dengan manusia, datang rasa kasih sayang. Ini peranan penyelamat yang keempat yakni menyelamatkan akhlak umat.
Pemimpin penyelamat inilah kerjanya. Jika yang berlaku adalah sebaliknya; berlaku perpecahan, pergolakan, perebutan wang dan harta, hina-menghina, fitnah dan mengaibkan sesama manusia, ini bukanlah pemimpin penyelamat! Lebih-lebih lagi kalau sudah melanggar syariat Tuhan dan menghalalkan yang haram demi tercapai matlamatnya; ini jelas-jelas pemimpin yang jahat dan membawa kerosakan yang menghumban manusia ke neraka!
Pejuang-pejuang kebenaran itu adalah penyelamat! Manusia terasa selamat bersama mereka, rasa selamat lahir dan batin mereka. Iman mereka dipelihara, harta mereka terjaga. Jika yang berlaku semakin merosakkan Iman dan memporak perandakan kehidupan manusia, lebih-lebih lagi hingga harta benda manusia pun tidak selamat dalam pimpinannya ini jelaslah bukan pejuang kebenaran apatah lagi pemimpin penyelamat!
No comments:
Post a Comment