Komuniti Kasih Sayang 1 Malaysia : Tujuan Berkenal-Kenalan

Allah SWT berfirman:

Maksudnya:

"Sesungguhnya Kami Tuhan menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa, maka lahirlah berbagai-bagai bangsa, dengan tujuan supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Tuhan adalah mereka yang paling bertaqwa." (Al Hujurat: 13)

Ayat ini nampaknya pendek tetapi ilmunya banyak. Ia dapat menggambarkan hidup manusia yang syumul dan global. Ia menggambarkan kehidupan manusia secara menyeluruh dan menggambarkan kehidupan manusia dalam pelbagai aspek.

Antara yang disebutkan di dalam ayat ini adalah:
  1. Kita dapat faham bahawa manusia ini dari keturunan Adam dan Hawa. Ini dengan sendiri menolak teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari beruk.
  2. Kita dapat faham di sini bahawa dari asal dua manusia yang cinta-mencintai satu sama lain akhirnya lahirlah zuriat-zuriat yang banyak. Hinggalah ke zaman kita ini, entahkan sudah berapa ribu tahun, katanya penduduk dunia hari ini sudah mencecah 6.6 bilion orang. Daripada 6 bilion lebih manusia itu, ada banyak bangsa-bangsa. Dari bangsa itu lahir etnik-etnik yang beribu-ribu banyaknya dan lahir berbagai bahasa dan warna kulit. Saiznya tidak sama. Ada yang besar, ada yang sederhana dan ada yang kecil. Ada hidung panjang, bengkok dan sederhana macam kita serta yang berhidung pesek. Ada bangsa yang sangat cantik, yang sederhana cantik dan ada yang buruk. Ada yang tidak cantik tetapi dipandang manis. Begitulah kuasa Tuhan.
  3. Dari manusia yang banyak bangsa dan etnik itu, yang utama yang Tuhan mahu dan hendak ialah lita'arafu, iaitu supaya berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Lita'arafu adalah lafaz musyarakah. Apa maksud lafaz musyarakah? Ertinya ia perlu-memerlukan, bukan dari satu pihak sahaja. Ianya melibatkan dua pihak sama ada dua individu, dua bangsa atau dua jemaah, yang mereka itu perlu-memerlukan. Jadi rupanya di sini Allah memberitahu, satu bangsa tidak akan boleh hidup atas bangsanya sahaja. Dia memerlukan bangsa lain. Kalau dia paksa juga untuk hidup tanpa bangsa lain, maka tidak sempurna kehidupannya. Macam orang asli yang hanya bergaul dengan bangsanya sahaja. Apa jadi? Dari dahulu sampai sekarang tidak bertamadun dan tidak berubah. Hidupnya sama sahaja sebab mereka cuma hidup sesama mereka. Maka Allah jadikan berbagai bangsa dan suku itu untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain.
  4. Begitu pun perlu diingat bahawa Tuhan suruh berkenalan bukan tanpa matlamat. Maha Suci Tuhan dari melakukan perkara yang sia-sia. Berkenal-kenalan itu bukanlah tanpa maksud atau tanpa matlamat yang besar. Daripada kenal-mengenal dan perlu-memerlukan di antara satu sama lain, sebenarnya ada maksud besar dari Tuhan untuk kepentingan manusia itu sendiri.
Kita akan huraikan perkara-perkara yang penting dan yang terpokok sahaja dalam ayat ini. Tujuan lita'arafu atau berkenal-kenal antara sesama manusia itu ada maksud besar. Di antara kepentingan lita'arafu atau kenal-mengenal itu ialah:

1. Atas dasar Tuhan
Berkenal-kenalan itu, yang terpokok, yang terpenting, yang wajib, yang tidak boleh tidak adalah atas dasar mengenal Tuhan. Supaya kita tahu siapa Tuhan itu, bagaimana Tuhan itu dan apa peranan Tuhan. Itulah tauhid dan itulah yang akan melahirkan orang bertaqwa. Jadi tujuan pertama Tuhan suruh berkenal-kenalan itu supaya boleh promosi Tuhan. Setelah promosi lalu orang kenal Tuhan maka datanglah cinta dan takut kepada Tuhan. Bila datang cinta pada Tuhan, lahirlah cinta sesama manusia. Bila takut pada Tuhan, side effectnya takut hendak buat salah sesama manusia. Rupanya hasil daripada takut dan cinta itu, manusia yang untung. Bukan Tuhan yang untung kerana side effectnya atau hasil kebaikannya diperolehi oleh manusia.

Takut Tuhan membuatkan orang takut hendak buat salah dengan manusia. Maka jenayah dan kejahatan tidak banyak berlaku. Bila cintakan Tuhan, maka manusia akan cinta sesama manusia. Manusia yang dapat untung. Bila sudah cinta sesama manusia maka yang susah dibantu, yang sakit diziarahi dan diubati, yang senang memberi kerjasama dan ada rasa bersama, ada timbang rasa, bermaafan dan sebagainya. Rupanya penting cinta dan takut Tuhan ini kerana kesan baiknya pada manusia.

Jadi inilah yang penting dalam hal lita'arafu ini. Yakni untuk datangkan cinta dan takut pada Allah. Kita buat tamsilan: Biasanya seorang itu apabila dia kenal dengan seseorang, selepas itu dia suka hendak berkenalan lagi, mesti ada sesuatu yang menarik pada orang itu. Mungkin kerana orang itu baik, pemurah, lemah lembut dan hormat tetamu. Kalau salah dia maafkan, kalau dia salah, dia minta maaf, akhlak dan perikemanusiaannya tinggi. Kesusahan orang dirasakan kesusahannya dan kesenangan orang lain adalah kesenangannya. Orang sebegitu, bukan sahaja kita suka hendak jumpa bahkan kita akan promosi dan bercakap tentangnya. Walaupun dia tidak suka dicakapkan atau dia tidak suruh, kita cakap juga. Begitulah fitrah. Orang yang baik itu selalu dipromosikan.

Kalau sesama manusia yang sama-sama lemah, kadang-kadang sama-sama dapat sakit, kadang-kadang sama-sama dapat ujian, bila ada sedikit kebaikan pada seseorang itu, kita cakap dan kita puji-puji dia. Mengapa tidak begitu terhadap Tuhan? Mengapa kita tidak promosi Tuhan? Sangat zalim manusia! Sedangkan manusia yang buat sedikit kebaikan pun kita puji, mengapa Tuhan yang kebaikan-Nya tidak dapat digambarkan, tidak kita promosikan? Rahmat dan nikmat-Nya tidak dapat dihitung. Dia yang menjadikan langit dan bumi, dunia dan Akhirat, yang mana dunia menjadi tempat tinggal manusia yang pertama dan Akhirat tempat tinggal manusia yang kedua. Dia benarkan manusia membangun dan maju. Disiapkan macam-macam bahan untuk manusia membangun, macam-macam makanan dan pakaian. Untuk berhibur pun dijadikan lelaki, perempuan atau suami isteri.

Begitu banyak nikmat dari Tuhan, mengapa tidak kenalkan Tuhan? Mengapa tidak promosikan Tuhan? Mengapa tidak beritahu jasa-jasa Tuhan? Sedangkan apabila manusia buat sedikit kebaikan, dipuji merata-rata. Lebih-lebih lagi kalau dia ahli sains sedangkan ahli sains hanya menemukan bahan-bahan dari Tuhan. Kalau tidak ada bahan dari Tuhan, dia tidak akan boleh mencipta barang. Dia tidak akan boleh cipta kereta, kapal terbang dan lain-lain. Tetapi kerana hasil dapat cipta kapal terbang dan semua itu, maka namanya disebut-sebut dan dikempen merata-rata. Orang kata: "Lihat Al Khindi, Al Farabi dan lain-lain saintis." Hari ini ahli sains lebih besar dari Tuhan terutama ahli sains Barat. Ulama-ulama pun membesar-besarkan mereka. Kadang-kadang bersyarah dua jam, sekalipun tidak sebut Tuhan sebaliknya nama ahli sains yang bermain di bibir mulut. Seolah-olah besar sangat jasa ahli sains itu berbanding dengan jasa Tuhan. Manusia sudah bangga dengan diri sendiri dan sudah menzalimi diri sendiri.

Tuhan yang menentukan nasib kita, hidup atau mati, sakit atau sihat, kaya atau miskin, pandai atau bodoh. Tidak takutkah? Tidak perlu kasihkah? Ahli sains yang hanya menemukan bahan ciptaan Tuhan dicanang merata-rata. Tuhan yang banyak jasa boleh dilupakan oleh semua bangsa bahkan umat Islam pun melupakan-Nya. Jadi inilah tujuan terpenting Tuhan ciptakan kita, iaitu supaya manusia kenal-mengenal untuk tujuan mempromosi dan mengenal Tuhan. Di sinilah keberkatan hidup kita.

2. Atas dasar nikah kahwin
Tujuan lita'arafu yang kedua, adalah berkenal-kenalan dengan tujuan untuk bernikah kahwin. Tapi perlu diingat, oleh kerana nikah kahwin itu ada bercampur nafsu, maka kadang-kadang kita menganggap atas dasar nafsulah kita bernikah kahwin. Kita pun menganggap bahawa nikah kahwin hanya untuk tujuan itu. Sebenarnya Tuhan mempunyai maksud yang lebih besar dari itu. Bahkan Tuhan tidak galakkan satu bangsa kahwin dengan bangsanya atau etniknya sahaja. Lebih-lebih lagi kahwin itu di sekitar keluarganya sahaja. Makruh hukumnya berkahwin dengan keluarga terdekat (sepupu). Tuhan dan Rasul tidak galakkan walaupun halal.
Kalau kita buat kajian, kita kahwinkan 10 pasang sepupu, kita akan dapati sekurang-kurangnya enam pasangan itu akan melahirkan anak yang lemah otaknya.

Jadi sebab itulah makruh kahwin sepupu dan kerana itulah kita disuruh kahwin dengan yang jauh jarak hubungan keluarganya dengan kita.

Kemudian sekiranya perkenalan itu dibuat atas dasar Tuhan dahulu dan setelah ditunjangi tauhid, barulah bernikah kahwin, maknanya perkahwinan itu bertunjangkan Tuhan maka hasilnya akan lahir manusia yang cerdik. Itulah hikmahnya.
Hikmah yang lain, manusia ini biasanya kalau jelas sangat bangsanya, etniknya, jangka panjang yakni kalau dia sudah lupa Tuhan dan Tuhan tidak lagi jadi cita-citanya maka akan lahirlah fahaman kebangsaan. Kalau hanya tumpu pada bangsa sahaja, lahirlah nanti fahaman kebangsaan yang merbahaya, yang akan mengundang permusuhan antara bangsa-bangsa. Di antara punca peperangan yang berlaku di dunia adalah kerana menganut fahaman kebangsaan ini. Untuk mengelakkan peperangan, pergaduhan dan perpecahan inilah maka Islam menggalakkan kahwin campur demi untuk membunuh fahaman kebangsaan yang mana apabila orang itu sudah bangga dengan bangsanya, dia akan perjuangkan bangsanya dan akan menghina serta memandang rendah bangsa lain.

Lihat bijaknya Tuhan menyuruh kita berkahwin dengan orang yang jauh hubungan kekeluargaan dan kahwin campur. Gabungan etnik-etnik yang kahwin campur akan berjaya membunuh fahaman kebangsaan di mana kadang-kadang orang berperang kerana fahaman kebangsaan itulah.
Inilah tafsiran lita'arafu yang kedua iaitu berkenal-kenalan antara satu sama lain atas dasar nikah kahwin.

3. Atas dasar ilmu
Tujuan lita'arafu yang ketiga ialah dari sudut menuntut ilmu. Di antara keperluan utama manusia ini adalah Tuhan, nikah kahwin dan juga ilmu. Bolehkah seseorang itu kata bahawa hidupnya ini untuk kahwin sahaja? Bila sudah kahwin, ilmu sudah tidak perlu. Apakah ada orang yang berkata bahawa dia hanya perlu ilmu sahaja? Ada ilmu sudah cukup, tidak perlu kahwin? Itu akan menyebabkan kekurangan. Jadi maksud lita'arafu yang ketiga ialah menuntut ilmu berteraskan tauhid. Ini pun perlu-memerlukan. Hendak dapat ilmu, perlu jumpa guru. Kalau tidak jumpa guru, tidak akan dapat ilmu. Ertinya murid perlu dengan guru. Guru pula perlu ada murid untuk disampaikan ilmu. Maka guru dan murid perlu-memerlukan. Untuk itu perlunya menuntut ilmu itu bertunjangkan tauhid. Bila ada rasa tauhid, guru akan pandang muridnya macam anak sendiri. Kalau dia rotan atau hukum, itu atas dasar sayang. Begitu juga murid. Kalau dia ambil ilmu dari guru atas dasar takut dan cintakan Tuhan maka dia akan merasakan bahawa gurunya ada jasa terhadapnya. Dia akan hormat, muliakan dan puji gurunya. Kalau dia dirotan, dia tahu itu atas dasar hendak membaikinya.

Tetapi sekarang apa sudah jadi? Orang hendakkan ilmu dan orang memberi ilmu tetapi bilamana keperluan murid dengan guru bukan ditunjangkan oleh tauhid, tidak takut dan tidak cintakan Tuhan, akibatnya murid jadi kurang ajar dengan guru dan tidak hormat guru. Guru pula tidak bertanggungjawab dan tidak anggap murid sebagai anaknya. Kalau dahulu guru rotan murid, sekarang murid rotan dan pukul guru. Oleh kerana keperluan ini tidak diikat dengan Tuhan maka kedua-dua pihak tidak untung. Oleh itu apabila murid telah berpisah dengan guru, walaupun dapat PhD, seumur hidup pun dia tidak akan kenang jasa gurunya kerana dia tidak rasa guru berjasa padanya. Sebab dia belajar bukan atas dasar takut dan cinta Tuhan. Apa sudah jadi? Murid dengan guru tidak habis-habis berkonfrontasi.
Yang pelik, apabila terjadi begitu, ibu bapa, guru-guru dan pemimpin buat pelbagai undang-undang untuk mengatasinya. Ini bukan soal undang-undang tetapi soal kehilangan Tuhan. Tuhan sudah berlepas diri dan tidak mahu bertanggungjawab. Manusia belajar atas kepentingan masing-masing, bukan kerana Tuhan, maka Tuhan berlepas diri. Patutnya apabila terjadi begini, ulama dan pemimpin yang hendak membaiki keadaan perlu sedar bahawa tali pengikatnya sudah tidak ada. Kita sudah kehilangan Tuhan maka sepatutnya kita promosikan Tuhan semula, bukan buat peraturan dan undang-undang. Kalau sudah lupa Tuhan, murid dan guru akan jadi jahat. Di atas kejahatan bersama itu, maka akan jadi huru-hara.

Sebab itulah Tuhan suruh berkenal-kenalan dengan bertunjangkan tauhid supaya nikmat yang kita dapat tidak jadi bala. Dapat ilmu itu nikmat tetapi bergaduhnya murid dengan guru, itu adalah bala. Apa erti makanan sedap tetapi ada racun. Ilmu dapat tetapi berkrisis sebab belajar dan mengajar tidak hubungkan dengan Tuhan. Tuhan sudah berlepas diri dari kita.

Yang peliknya, ulama yang membahaskan tentang kejahatan murid, dia fikir untuk selesaikan masalah, hantar polis ke sekolah. Macam mana kalau polis pun tidak takut dan tidak cinta Tuhan? Macam mana orang yang tidak cinta dan takut Tuhan hendak jaga orang? Lagi bala nanti.

4. Atas dasar ekonomi
Selain itu, tujuan berkenal-kenalan yang dimaksudkan oleh Tuhan ialah mempunyai hubungan perniagaan atau ekonomi tetapi syaratnya juga mesti bertunjangkan tauhid. Perhubungan ekonomi atas dasar cinta dan takut Tuhan. Selain ilmu, ekonomi juga penting. Bentuknya luas, bahan yang hendak dikendalikan terlalu banyak dan keperluan manusia dalam perniagaan juga terlalu banyak. Bukan hanya dalam soal makan minum sahaja tetapi juga rumah dan alat-alat kehidupan yang lain. Maka lebih-lebih lagilah perlukan Tuhan.

Kalau Tuhan tidak masuk campur dan Tuhan dilupakan, walaupun kita berniaga antara dua orang atau antara dua puak di mana kedua-dua pihak mengharapkan keuntungan, tetapi ia tidak akan berlaku begitu. Yang akan berlaku ialah perniagaan itu jadi tipu-menipu. Saya tipu kamu, kamu tipu saya. Saya bohong, kamu pun bohong. Bukan sahaja antara Melayu dan Cina tipu-menipu, bahkan Cina dengan Cina dan Melayu dengan Melayu pun sanggup menipu. Sebab sudah kehilangan Tuhan. Bukan sahaja antara yang Islam dan bukan Islam tipu-menipu, bahkan sesama umat Islam pun tipu-menipu. Sebab perniagaan itu dibuat dalam keadaan tanpa Tuhan. Tuhan tidak jadi tunjang. Tidak takut dan tidak cintakan Tuhan. Apa sudah jadi hari ini? Ramai orang yang banyak duit mengadu bahawa mereka ada duit tetapi takut hendak berniaga. Jualan habis tetapi untung tidak dapat. Orang yang ada duit takut hendak berniaga, betapalah yang tidak ada duit.

Akibat sudah kehilangan Tuhan, tidak cinta dan tidak takut Tuhan, itulah yang berlaku di dunia hari ini. Orang pandai dan bijak, tekan orang bodoh. Yang pandai, monopoli ekonomi. Akhirnya kekuatan ekonomi di tangan satu puak. Rakyat jelata susah dan merempat. Kesan dari masing-masing tidak takut dan tidak cinta Tuhan.

5. Atas dasar membuat kajian
Tujuan lain lita'arafu yang Tuhan maksudkan ialah berkenal-kenalan untuk membuat kajian. Yakni dengan pergi ke tempat satu sama lain untuk melihat dan mengkaji adat bangsa di negeri itu, apa keutamaannya, apa yang baik yang boleh dijadikan teladan dan yang tidak baik, hendak dijadikan sempadan. Tapi sekali lagi dikatakan bahawa perkara itu tidak akan boleh terjadi, kalau kajian-kajian itu semua tidak bertunjangkan Tuhan. Bukan atas dasar cinta dan takutkan Tuhan. Akan terjadilah nanti orang yang membuat kajian di Barat menjadi lebih Barat dari orang-orang Barat. Patutnya kita Islamkan orang Barat tetapi sebaliknya kita yang jadi Barat. Amat malang sekali.

Selain itu kaji-mengkaji yang sepatutnya boleh membawa kasih sayang, rupa-rupanya digunakan oleh masing-masing untuk mencari kelemahan orang dan untuk menekan orang. Dia akan cari kelemahan sesuatu bangsa supaya mudah untuk jatuhkan bangsa itu. Masing-masing berniat untuk jatuh-menjatuhkan. Mengapa terjadi demikian sedangkan kita sangat perlukan pengalaman, perlu pertukaran kajian dan maklumat serta patut kasih-mengasihi? Sebab kita sudah kehilangan Tuhan. Akhirnya, hasil kajian itu menyusahkan kita balik. Ia jadi bala. Apabila kita lupakan Tuhan, maka Tuhan melupakan kita.

Kesimpulannya, ayat yang pendek tadi kalau dihurai, banyak sangat ilmu di situ, yang menggambarkan kehidupan manusia secara global. Kalau kehidupan secara global itu ditunjang oleh tauhid, atas dasar takut dan cinta Tuhan, maka akan jadi hebat manusia ini yang asalnya satu ibu dan ayah. Munasabahlah jadi satu keluarga besar sebab asal usulnya satu ibu dan dan satu ayah yakni dari Nabi Adam dan Hawa. Tetapi ia tidak terjadi demikian walaupun logiknya ia patut terjadi demikian. Rupa-rupanya kerana ada satu rahsia yakni kerana masing-masing sudah lupakan Tuhan. Tuhan yang begitu berjasa, boleh dilupakan begitu saja tetapi ahli sains pula dikenang jasanya. Bahkan ada orang yang buat perkara pelik, yang tidak pun menguntungkan agama dan bangsa, itu pun disanjung tinggi dan diberi pingat. Padahal apa manfaatnya? Begitu tersasul sekali cara kita berfikir. Itulah akibatnya apabila sesuatu bangsa itu sudah kehilangan Tuhan.
Maha Besar Tuhan. Ini satu ayat pendek yang besar ertinya kalau manusia ada ilmu dan faham ayat ini serta diimplementasikan dalam kehidupan. Hidup akan penuh dengan keindahan. Manusia akan jadi keluarga besar yang hidup aman damai, bahagia dan harmoni. Moga-moga kita boleh faham dan boleh praktikkan ilmu ini dalam kehidupan.

SAJAK

Adab Masyarakat

Bermasyarakat perlu bekerjasama
Menegakkan kebaikan dan keperluan bersama
Berkorban tenaga, menyumbang harta
Ikhlasnya hati waktu bekerja
Kemungkaran sama-sama membasmi
dan mencegahnya
Jangan biarkan ia bertapak
di dalam kehidupan
Kerana ia perosak perpaduan
Kena tumpaskan waktu ia bermula
Bertolak ansur di dalam pergaulan
Sabarlah menerima ujian
Lupakanlah kesalahan kawan
Maaf-bermaafan perlu ada
Kesalahan kita jangan dilupakan
Memohon maaf kenalah ada
Sikap itu sangatlah mulia
Allah Taala suka, manusia juga suka
Panjatkanlah doa kepada Tuhan
Memohon pertolongan kepada-Nya
Usaha kita tiada berkesan
Bantuan Tuhan perlu ada

No comments:

Post a Comment