Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global)." (Al Baqarah: 208)Di dalam ayat ini, Tuhan memerintahkan manusia dengan perintah masuk ke dalam keselamatan (Islam), secara umum dan menyeluruh, iaitu bukan secara individu atau perseorangan. Masuk ke dalam keselamatan itu pula bukan separuh-separuh atau bukan di sesetengah aspek sahaja tetapi secara keseluruhan iaitu secara global. Dalam ayat ini Allah mengajar kita bahawa hidup ini mestilah bukan secara individu tetapi ada hubung kait dengan orang lain. Dalam memikirkan diri kita, fikirkan juga orang lain. Kita ada hubungan dengan orang lain dan orang lain juga ada hubungan dengan kita. Jadi manusia tidak boleh memikirkan dirinya sahaja.
Tuhan mengajak kita masuk ke dalam keselamatan secara umum dan secara global. Jadi kalau ingin selamat, tentu kita harap agar orang lain juga selamat atau agar orang lain juga berada dalam keselamatan. Kalau kita ingin masuk ke dalam keselamatan secara global, kita harap orang lain pun demikian juga.
Demikianlah perintah Tuhan kepada manusia agar saling jaga-menjaga antara satu sama lain di mana kita menjaga orang dan orang menjaga kita. Dalam kita memikirkan diri kita, kita fikirkan juga diri orang lain. Dalam waktu orang lain memikirkan dirinya, dia juga memikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agama-Nya, Islam, sesuai dengan ayat tadi. Perkataan Islam yang istilah asalnya, 'aslama-yuslimu-islaman' ( ), bukan hanya ertinya 'selamat' tetapi juga 'menyelamatkan'.
Kita bahaskan perkataannya dahulu. Islam itu bukan ertinya 'selamat'. 'Selamat' dikatakan 'salmun' ( ). Islam maksudnya menyelamatkan. Sesuai dengan perkataan dalam ayat tadi, iaitu menyelamatkan itu secara jemaah, bukan secara individu. Kita fikirkan orang dan orang fikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agama-Nya dengan perkataan 'Islam' ( ) dan bukan 'salmun' ( ). Ramai orang terjemahkan maksud 'Islam' itu 'selamat'. Agama Islam itu maknanya yang tepat ialah agama yang 'menyelamatkan'.
Apa ertinya menyelamatkan? Ertinya menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang lain. Orang lain menyelamatkan dirinya dan menyelamatkan diri kita juga. Sebab itu perkataan 'Islam' dipilih oleh Tuhan. Tidak dipilih perkataan 'salmun'. Kita selamat dan menyelamatkan. Inilah dasar dan prinsip Islam.
Apa maksud selamat dan menyelamatkan? Ertinya kita menyelamatkan diri kita dan diri orang lain daripada sebarang perkara yang negatif, sama ada besar mahupun kecil. Sama ada yang berbentuk Akhirat, mahupun yang berbentuk dunia. Sama ada yang bersifat lahir mahupun yang bersifat batin. Diri kita selamat dan orang lain pun selamat. Inilah dasar agama Tuhan. Ini prinsip agama Tuhan yang mesti difahami, yang mesti diperjuangkan dan yang mesti dihayati serta diaplikasikan di dalam kehidupan.
Kalau begitu mari kita lihat, bagaimana untuk mengaplikasikan agama yang selamat dan menyelamatkan itu dalam kehidupan harian.
Dalam kehidupan harian, Tuhan kata, masuklah ke dalam keselamatan itu secara 'kaaffah' ( ). Bila katakan 'kaaffah' atau menyeluruh, maka salah sekalilah apa yang kita dengar dan kita lihat selama ini, yakni:
1. Golongan yang menganggap Islam itu mementingkan ibadah sahaja
Golongan ini nampak Islam itu di surau, masjid, waktu berpuasa, waktu sembahyang, waktu haji dan waktu wirid sahaja. Yang lain tidak diambil kira. Mereka nampak Islam itu hanya di sudut ibadah sahaja. Yang lain-lain seperti makan, minum, tidur, baring, berehat dan berkeluarga tidak dianggap Islam. Mereka tidak terfikir bahawa mencari ilmu, menziarah, berhimpun dan berhibur itu juga Islam. Bukankah ini berlawanan dengan prinsip tadi, yakni "Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global)."
2. Golongan yang mengambil berat tentang Islam itu dari segi politik dan pentadbiran negara sahaja
Mereka ini selalu sahaja kata, "Lihat Tuhan berkata, masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh." Mereka nampak negara, politik dan pentadbiran. Pada mereka, itulah agama. Ibadah itu kecil. Sebab itu kerana politik mereka tinggalkan sembahyang. Kalau sembahyang pun, Subuhnya pukul tujuh pagi. Ertinya mereka lebih pentingkan politik daripada sembahyang.
Itu kalau dia hendak sembahyang. Ramai yang memperjuangkan politik tapi tidak sembahyang. Oleh kerana dia anggap politik itu besar, sembahyang jadi kecil. Ini juga bukankah melanggar prinsip ayat tadi. Mana boleh politik negara dan pentadbiran dianggap global. Itu hanya satu sudut dalam Islam. Sedangkan Islam itu menyeluruh.
Kalau seseorang itu ada ilmunya, boleh dihayati dan boleh pula diamalkan dalam kehidupan, barulah dia benar-benar hamba Tuhan. Bila dikatakan hamba Tuhan, ertinya dia terhubung dengan Tuhan 24 jam. Kalau begitu mari kita lihat bagaimanakah hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah tadi di dalam setiap aspek kehidupan kita dengan tidak memikirkan atau mempersoalkan apakah ianya fardhu ain, sunat, fardhu kifayah dan lain-lain. Yang penting ia termasuk dalam kawasan silmi, iaitu kawasan keselamatan, yang selamat dan menyelamatkan.
Tentang ibadah di dalam Islam, itu tidak payah kita persoalkan. Itu orang sudah tahu. Begitulah juga aspek politik dan negara, pun tidak perlu kita bahaskan. Orang sudah faham. Itu sudah satu aspek. Yang hendak disebut di sini ialah satu perkara atau satu aspek yang jarang orang sebut iaitu tindakan kita setiap hari. Setelah kita hurai nanti, barulah kita tahu sama ada kita berada dalam 'silmi kaaffah' atau tidak. Sama ada kita masuk dalam keselamatan global atau tidak.
Katalah daripada bangun tidur, bagaimana kita hendak masuk kepada Islam atau kepada silmi itu? Kalau tidak berada dalam silmi, maka syaitanlah yang akan mempengaruhi kita. Ia akan berlaku salah satu. Kalau Tuhan tidak pengaruhi kita, syaitanlah akan pengaruhi kita. Tidak ada vacuum. Di antara contoh bagaimana hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah di dalam setiap aspek kehidupan kita adalah seperti berikut:
Apabila kita bangun sahaja dari tidur, kita bersyukur pada Tuhan. Kalau tidak tahu hendak baca ayat doanya, sekurang-kurangnya hati kita berkata, "Terima kasih Tuhan kerana hidupkan saya." Kita pun niatkan, "Ya Allah, bermula daripada saya bangun ini, sampai saya tidur semula, saya hendak buat baik. Tolonglah bantu saya." Niat sudah ada. Ertinya sudah mula masuk pada silmi. Kalau kita tidak buat begitu, ertinya sudah tidak selamat. Syaitan akan mempengaruhi hati kita sebab kita tidak bermula dengan ingat Tuhan. Bila tidak ingat Tuhan, ertinya syaitan mempengaruhi kita waktu itu.
Kemudian kita pun ke bilik air, dengan niat semua perbuatan adalah untuk Tuhan. Itu kita sudah maklum. Kita terus pergi ke bilik air dengan tujuan hendak bersihkan diri, hendak basuh diri, hendak mandi dan hendak ambil wuduk. Tujuannya untuk Tuhan. Syaitan sudah tidak boleh mencelah di situ. Kita sudah berada dalam kawasan atau keadaan silmi itu tadi. Selepas itu kita sembahyang. Itu juga dalam silmi.
Selepas itu, tentulah manusia ini hendak bertebaran di atas muka bumi. Tentu hendak keluar rumah. Mengapa Tuhan pilih perkataan bertebaran? Sebab tidak semua orang bekerja. Ada orang hendak mengaji, ada orang hendak mengembara, ada orang hendak berziarah dan bersilaturrahim dan ada orang hendak menunaikan hajat-hajat lain. Jadi selepas sembahyang, masing-masing akan memenuhi keperluan masing-masing.
Bila hendak keluar rumah tentu kita akan berdoa dengan berkata:
Maksudnya: "Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah."
Jadi kita sambunglah memasuki kawasan keselamatan atau silmi secara global tadi. Kalau kita tidak baca doa itu, kalau kita tidak terfikir atau terlupa hendak baca, di sudut itu sudah tidak selamat. Syaitan sudah menguasai hati.
Bila melangkah, kita langkah dengan kaki kanan. Sebab berkanan-kanan ini Tuhan suka. Selamatlah dari kemurkaan Tuhan. Kalau kita langkah dengan kaki kiri, kita sudah buat sesuatu yang negatif, sebab orang kafir suka mulakan dengan sebelah kiri. Sama ada untuk makan atau lain-lain. Cuba kita lihat orang kafir makan terutama orang Barat. Sama ada pakai garpu atau tangan, mereka gunakan tangan kiri.
Tuhan benci. Apabila Tuhan benci, ia sudah masuk kepada negatif. Ia sudah tidak selamat sebab Tuhan sudah murka sebab kita ikut budaya orang kafir. Ertinya kita sudah tidak selamat.
Selepas itu kita naik kereta dan membaca doa naik kenderaan. Itu paling tidak. Tadi sudah dikatakan bahawa Islam itu bukan kita sahaja selamat bahkan ia selamat dan menyelamatkan. Yang lebih baik waktu itu, kita ingat tentang berapa ramai orang yang campur tangan untuk menghasilkan kereta itu. Dari bahan mentah, siap menjadi kereta hingga sampai ke tangan kita, berapa ribu manusia yang terlibat. Doakan dalam hati:
"Ya Allah berilah mereka petunjuk. Ampunkan dosa mereka dan murahkan rezeki mereka."Kalau boleh, hadiahkan Al Fatehah untuk mereka dan niatkan dalam hati, kita hadiahkan Fatehah untuk yang Islam. Bagi buruh-buruh yang tidak Islam, dia sudah termasuk dalam doa tadi yakni agar diberi petunjuk. Moga-moga dengan itu, kita selamat dan menyelamatkan orang lain. Itu lebih ikhlas. Orang yang kita doakan pun tidak tahu. Itu paling ikhlas. Pahalanya selamat. Kalau kita doakan orang ramai yang ada di depan kita, payah hendak jaga hati kita. Sebab hati akan berkata, "Supaya orang anggap aku baik, aku akan doakan mereka." Habislah pahala amalan kita. Payah rupanya hendak ikhlas. Bila begitu, ertinya hati kita bukan Tuhan yang dapat tetapi syaitan yang dapat.
Jadi kalau kita mendoakan orang tetapi tidak ada siapa yang tahu seperti mendoakan orang-orang yang terlibat dalam menghasilkan kereta tadi, yang mereka itu duduk merata-rata, inilah yang selamat dan menyelamatkan.
Inilah yang orang tidak buat. Perkara seperti ini mudah dapat pahala tetapi orang tidak buat. Yang susah dapat pahala itulah yang orang hendak buat sebab kita sudah diberi gambaran yang salah tentang ajaran Islam itu. Perkara-perkara yang tersirat seperti ini tidak pernah digambarkan atau difikirkan orang. Padahal Islam itu selamat-menyelamatkan. Sekarang kita sudah selamatkan orang yakni orang yang ada hubungan dengan kereta kita. Daripada yang menyiapkan bahan mentah, yang proses, yang buat, yang tukang jual, sampai ke tangan kita, berapa ribu orang yang terlibat. Kalau doa kita makbul, berapa ribu orang yang akan selamat.
Seterusnya, kereta pun meluncur. Waktu baru naik kereta, hendak hidupkan enjin, ada bacaan doanya. Waktu kereta berjalan juga ada bacaannya. Mengapa kita baca doa-doa itu? Moga-moga Tuhan selamatkan kita. Sebab ajaran Islam itu selamat-menyelamatkan. Setidak-tidaknya kita dahulu yang selamat. Bila masuk ke simpang, walaupun itu jalan kita, jika ada kereta lain hendak lalu, kita beri laluan. Menyelamatkan. Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan. Bagi peluang kepada orang lain jalan dahulu. Kalau kita cakap, "Mana boleh! Ini jalan aku." Mengikut undang-undang jalan raya, memang tidak salah kalau kita tidak mahu beri laluan tetapi mengikut undang-undang Tuhan, tidak baik. Kalau mengikut undang-undang kerajaan memang kita yang patut jalan dahulu.
Kalau mengikut undang-undang Tuhan, kita beri orang lain jalan dahulu. Kita hendak menyelamatkan orang. Boleh jadi dia memang ada keperluan hendak cepat. Kita beri peluang kepada orang dahulu, senangkan hati orang. Bila kita senangkan hati orang, kita sudah dapat pahala pula. Jadi kesenangan orang itu secara tidak langsung menyenangkan kita pula.
Begitulah pula kalau kita jalan jauh. Bila menuruni jalan yang tinggi atau bukit, ada pula ayatnya. Selagi menurun, kita baca, "Subhanallah... Maha Suci Tuhan, Maha Suci Tuhan." Jangan sampai jiwa kita itu vacuum atau kosong. Biar sentiasa terhubung dengan Allah. Kalau jauh kereta kita menurun, lamalah kita baca, "Subhanallah..." Apabila tiba-tiba kereta mendaki kawasan atau jalan yang tinggi, baca, "Allahu Akbar" pula. Tuhan siapkan bagaimana agar kita sentiasa terhubung dengan-Nya supaya hati kita tidak vacuum.
Katalah tiba-tiba kita nampak orang kemalangan. Kita kata, "Segala puji bagi Tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang telah ditimpakan kepada orang itu."
Terhubung lagi hati dengan Tuhan. Tidak boleh ada vacuum dalam hati. Jika vacuum, syaitan masuk. Bila syaitan masuk, kita sudah tidak selamat. Padahal Islam itu cantik. Bukan sahaja kita selamat, orang lain pun selamat.
Apabila kita teruskan perjalanan lagi, kita haus maka kita pun singgah di restoran. Berapa banyak perhubungan kita dengan Tuhan di situ. Kita baca bismillah, dan mulakan minum dengan tangan kanan maka kita terhubung secara tidak langsung dengan Tuhan. Bila hendak bayar, kita bayarkan untuk orang yang makan di kiri kanan kita. Selamatkan orang lain. Bukan sahaja kita selamat dari lapar dan dahaga bahkan kita juga telah selamatkan orang lain. Islam itu selamat-menyelamatkan. Tidak indahkah ajaran Islam itu? Kita sentiasa berhubung dengan manusia, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Bila terhubung dengan Tuhan, secara automatik kita terhubung dengan manusia. Cantiknya ajaran Islam.
Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan yakni ia merupakan amalan harian. Sedangkan ada orang anggap masuk kepada keselamatan secara keseluruhan atau global itu, hanya di sudut ibadah sahaja atau sembahyang sahaja. Yang minat politik pula nampak keseluruhan atau global itu di sudut negara atau pentadbiran sahaja. Ibadah pun sudah jadi kecil baginya. Apa yang diceritakan ini, lagilah dia tidak nampak. Mana orang pernah syarahkan. Seolah-olah ini bukan agama. Agama itu ialah jadual harian. Walaupun satu detik dalam hidup, tidak lepas dari Tuhan dan tidak lepas dari manusia. Tidak ada vacuum. Tidak ada kekosongan.
Jadi itulah perintah Tuhan tadi,
"Hendaklah kamu masuk Islam (keselamatan) itu secara menyeluruh (global)."
Dan sebab itu Tuhan bagi nama agama-Nya, Islam, sesuai dengan arahan dalam ayat tadi. Islam ertinya selamat dan menyelamatkan. Menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang lain. Kalau ini dapat difahami, dihayati, dan diamalkan dalam kehidupan harian, maka dengan Tuhan kita terhubung dan dengan manusia kita terhibur.
Kita selamat dan orang lain pun selamat. Kalau begitu, mana ada ruang untuk bergaduh atau berkrisis. Tidak ada. Tetapi oleh kerana kita tidak faham Islam secara benar dan kita hanya faham sepertimana yang kita faham selama ini, sebab itu Islam yang kita bawa tidak selamat dan tidak menyelamatkan. Kadang-kadang kita bawa Islam, di situ boleh bergaduh. Ini sudah tidak betul. Menyalahi ayat tadi.
Itu sebahagian kecil yang digambarkan bagaimana Islam itu adalah kehidupan seharian. Dalam sudut-sudut lain, kita sudah tahu. Kalau belum tahu, eloklah kita belajar lagi kerana ia terlalu banyak dan menyeluruh. Iaitu tindakan dalam kehidupan kita. Jadi cantik sekalilah ajaran yang selamat-menyelamatkan ini.
Begitulah seterusnya, apabila kita balik ke rumah untuk berehat, ada disiplin-disiplin tertentu dan ada bacaan-bacaan tertentu. Kalau tidak faham bacaan, pasanglah niat-niat baik kita dengan Tuhan, supaya sentiasa terhubung dengan Tuhan. Itu paling tidak. Memang tajuk semacam ini kurang diminati kerana bab ini susah hendak diamalkan setiap hari. Cukup setakat ini. Setidak-tidaknya kita sudah faham prinsip Islam yakni Islam itu selamat dan menyelamatkan.
Sajak
Agama Adalah Seluruh Kehidupan
Agama adalah seluruh kehidupan
Ada yang lahir ada yang batin
Iman, Islam dan ihsan adalah patinya
atau ajaran terpokok
Pecahan dari tiga aspek tadi
yang merupakan satu pakej
jadilah agama itu luasnya
seluruh kehidupan
Adakalanya disebut hablumminallah
wahablumminannas
Hablumminallah adalah asas
dan tapak agama dari Tuhan
Hablumminannas adalah cabangnya
atau buah daripada hablumminallah
Ertinya agama itu ia berlaku dan mesti berlaku
di mana-mana
Di dalam masjid sudah tentu semua orang tahu
Ia berlaku di pejabat, di pasar
di tengah masyarakat
di dalam perjuangan
di dalam kebudayaan
dan perhubungan
Di rumah tangga
di dalam perhubungan
di dalam negara atau antara bangsa
Berlaku di dalam jiran tetangga
di dalam pendidikan formal
atau tidak formal
Berkasih sayag, rasa bersama bekerjasama
bersatu-padu adalah agama
Di dalam perhimpunan
di dalam perayaan
di dalam mesyuarat
di dalam bersukan mesti ada agama
Bertimbang rasa, perikemanusiaan
bertolak ansur, berlapang dada
agama juga
Di waktu memandu di jalan raya
membersihkan bandar
ketika bertugas menjadi nelayan
bekerja di kilang
semuanya agama
Mentadbir negara, menjaga negara
menjaga keselamatan dan keamanan
juga agama
Berkawan, berkenalan, berbual
makan, rehat-rehat
tidur dan baring adalah agama
Begitulah luasnya agama
tidak seperti yang difaham
selama ini oleh kita
Tanggapan ramai orang Islam agama itu
hanya semata-mata ibadah
rukun Islam serta sunat-sunatnya
Kalau agama itu berlaku di mana-mana
selagi berlaku syariat Tuhan
sebagai disiplinnya
itu ibadah umumlah namanya
Ertinya agama atau ibadah itu berlaku
di udara, di darat, di laut
di hutan, di bukit, di gunung
di padang pasir
selagi ada manusia
Kalau agama berlaku di mana-mana
ertinya ibadah umum berlaku
di mana-mana sahaja selagi ada manusia
Sekiranya agama berlaku di mana-mana sahaja selamatlah manusia
Kerana maknanya agama itu tidak kacau
mengikut bahasa Sanskrit
Ertinya orang beragama tidak huru-hara
di dalam kehidupan
ertinya aman damai
harmoni, bahagia
Tapi makna agama itu telah dipersempit
maka manusia hidup huru-hara di mana-mana bahkan berlaku di masjid
Kerana itulah umat Islam hina di mana-mana
kerana agama yang diamalkan selama ini
adalah sempit
No comments:
Post a Comment