Jemaah perjuangan adalah penyelamat. Tidak cukup kalau penyelamat itu hanya
memiliki ilmu Akhirat semata-mata. Seorang penyelamat tidak cukup hanya tahu
ilmu tentang hukum-hakam sahaja. Memiliki ilmu dunia, sangat membantu dalam
memperjuangkan Akhirat. Bahkan ilmu dunia itu boleh diakhiratkan atau boleh
dijadikan ibadah.
Kegagalan pejuang-pejuang Islam sebelum ini adalah kerana mereka hanya memiliki
ilmu sekitar ilmu agama semata-mata. Mereka hanya memiliki ilmu tentang hukum-hakam.
Ilmu dunia mereka tidak berapa faham. Bahkan tidak minat. Ini adalah satu kesalahan.
Jadi orang yang perjuangkan kebenaran, yang hendak jadi penyelamat kepada manusia,
perlu kuasai kedua-dua ilmu itu yakni ilmu Akhirat dan ilmu dunia.
Keselamatan kita di Akhirat ditentukan oleh bagaimana kehidupan kita di dunia.
Apabila dikatakan ia ditentukan oleh kehidupan kita di dunia maka tentulah ilmu
dunia itu perlu kita miliki. Kalau tidak, bagaimana kita hendak bertindak. Kedua-dua
ilmu ini yakni ilmu dunia dan ilmu Akhirat kenalah digabungkan. Barulah perjuangan
kita tepat dan layak digelar penyelamat.
FITRAH MANUSIA HENDAK MAJU
Mari kita lihat kata-kata hukama atau kata-kata ahli falsafah, yang berbunyi,
"Manusia itu tabiat semula jadinya adalah makhluk yang maju."
Apa
maksud makhluk yang maju? Tuhan siapkan kekuatan-kekuatan dalam diri manusia
membolehkan manusia itu maju dan hendakkan kemajuan. Jadi kalau manusia itu
menggunakan alat-alat atau unsur-unsur yang ada dalam dirinya, iaitu dorongan,
kehendak-kehendak, rangsangan-rangsangan untuk maju, kemudian menggunakan alat-alat
yang ada pada dirinya juga, seperti kekuatan akal fikiran misalnya, maka manusia
itu boleh maju.
Berbeza dengan haiwan. Dari mula-mula dijadikan sampailah beranak cucu, budaya
hidupnya tidak berubah. Mana yang makan rumput, daripada awal sampai sekarang
makan rumput. Kalau rumput itu tidak pernah dimasak, sampai Kiamat pun ia tidak
dimasak. Begitulah yang makan daging. Haiwan makan daging yang mentah. Sampailah
ia mati dan hingga ke akhir zaman, ia tetap akan makan daging mentah. Begitulah
kalau asalnya mereka tidak berpakaian, sampai hari Kiamat pun tidak berpakaian.
Haiwan tidak ada alat dalam dirinya yakni tidak ada rangsangan dan dorongan
untuk ia berubah atau bertamadun. Hidup seperti itu memang senang. Hendak tidur,
ia tidak fikir tilam, tidak fikir alas. Kalau hendak makan rumput, makan sahajalah.
Kalau yang makan daging, ia terkam haiwan lain dan makan sahaja. Tidak perlu
hendak cincang, hendak masak atau hendak cari rencah-rencahnya.
Sebab itu manusia awal dahulu, di zaman batu, keupayaannya lebih sedikit sahaja
daripada haiwan. Ada yang duduk atas pokok, gunakan sumber air semula jadi dan
ada yang makan daging mentah. Lama-kelamaan manusia berubah sebab ada rangsangan
dalam dirinya. Ada kehendak, kemahuan dan akal pun memikirkan bagaimana hendak
buat pembaharuan. Akal pun gunakan alat-alat yang ada dalam dirinya untuk mendapat
satu-satu kemajuan. Mula-mula makan ikan mentah. Bila sudah jemu, ada rangsangan
maka mereka pun berfikir-fikir. Datang cara untuk buat api maka ikan itu pun
dibakarlah. Bila mereka fikir-fikir lagi, maka direbuslah pula ikan itu.
Begitu juga dalam hal-hal pembangunan dan jalan raya. Dahulu, jalan raya hanyalah
laut dan sungai. Atas sebab itulah orang berkampung di tepi sungai dan laut.
Tidak duduk di tengah hutan. Kalau duduk di tengah hutan pun, hutan yang ada
sungai. Kalau tidak, tidak boleh hidup.
Tabiat yang ada pada diri manusia inilah yang merangsang dan mendorong untuk
dia bertindak. Bila dia sudah terdorong, dia berkehendak maka dia merangsang
otaknya untuk berfikir. Maka otak pun berfikir bagaimana hendak berbuat. Kemudian
ia arahkan anggota fizikal untuk membangun. Akhirnya bersambung-sambunglah ilmu
itu hinggalah dunia jadi macam sekarang. Yang jadi masalah, walaupun ahli hikmah
berkata, manusia itu tabiat semula jadinya boleh maju, tidak ada perbezaan antara
apa bangsa atau etnik, tetapi kita lihat ada bangsa yang sangat maju, ada yang
sederhana dan ada yang seolah-olahnya hidup seperti 700-800 tahun dahulu. Antaranya,
penduduk Afrika. Rangsangan sama, dorongan sama, rasa hendak berubah sama, cara
berfikir sama, kemampuan menggunakan tenaga lahir pun sama tetapi hasilnya tidak
sama.
MENGAPA ADA BANGSA MAJU DAN ADA MUNDUR?
Kalau ada orang bertanya kepada kita, mengapa ada bangsa yang maju sangat dan
sebaliknya ada yang mundur? Kalau yang bertanya itu bangsa asing, orang bukan
Islam, tidak wajar kita hendak jawab secara hukum-hakam, secara hukum halal
dan haram atau dengan ayat Al Quran atau Hadis. Maka bagaimana hendak jawab?
Inilah buktinya ilmu dunia sangat perlu. Di sinilah pejuang-pejuang Islam gagal.
Mereka hanya boleh jawab di sudut hukum-hakam sahaja. Bila ditanya tentang ilmu
dunia, mereka tidak boleh jawab.
Kalau kita peka, kita akan dapati manusia itu fitrahnya sama tetapi hasilnya
tidak sama kerana sebab-sebab berikut:
1. Malas
Bagi sesetengah bangsa, rangsangan ada, kemahuan ada tetapi bila hendak berbuat,
terasa malas. Bila fikir bagaimana hendak buat, perlu minta bantuan Allah, banyak
cabaran, terasa malas. "Makan sahajalah apa yang ada. Biar sajalah. Hiduplah
dengan apa yang ada." Malas boleh menjadikan sesuatu bangsa itu tidak maju.
Sayangnya kerana dia tidak manfaatkan kemahuan dan dorongan dari tabiat semula
jadi manusia yang mahukan kemajuan itu. Dia tidak gunakan pendorong yang Allah
sudah beri itu. Kerana tidak tahan cabaran dan tidak mahu bersusah payah, akhirnya
manusia jadi malas.
2. Kerana bangsa itu pernah dijajah
Bangsa yang malas tidak akan berjuang tetapi bangsa yang rajin akan berjuang.
Bangsa yang rajin menjajah bangsa yang malas. Maka bangsa yang malas kena jajah.
Suatu bangsa yang kena jajah, memakan masa paling singkat 100 tahun. Malaysia
dijajah selama 450 tahun. Orang yang rajin berjuang, menjajah negara orang yang
malas. Penjajah ini dasarnya, dia sekadar hendak ambil khazanah harta dari jajahannya.
Bukan dia hendak didik anak jajahannya. Dia hanya didik beberapa orang untuk
bantu kerjanya. Yang lain, pandai-pandailah hendak hidup sendiri. Sebab itu
jalan raya dan bangunan dibina sekadar perlu. Ilmu pun dia catu. Macam dulu,
sekolah setakat darjah 7 sahaja. Selepas itu jadi guru. Itulah juga orang yang
jadi nazir dan guru besar. Penjajah hanya ambil dua tiga orang, dipandaikannya
untuk bantu tadbir negara itu dan digunakan untuk tundukkan rakyat. Penjajah
ambil rakyat sendiri untuk tundukkan rakyat. Bila rakyat hendak bangkit, mereka
tidak marahkan penjajah tetapi marahkan tali barut-tali barut itu. Jadi faktor
kedua mengapa sesuatu bangsa itu tidak maju ialah kerana pernah dijajah.
3. Faktor ilmu
Walaupun sebuah negara itu sudah merdeka tetapi ia tidak boleh maju kerana faktor
kekurangan ilmu. Tidak boleh hendak maju, hendak adakan bangunan pencakar langit,
hendak buat jalan raya yang moden kerana tidak ada ilmu. Maka tidak cukup ilmu
juga adalah antara faktor menjadikan suatu bangsa itu tidak maju.
4. Faktor anak-anak didik penjajah
Kebanyakan negara-negara yang baru merdeka, sebelum itu penjajah menjadi pemimpinnya.
Penjajah itu mungkin Amerika, Perancis, Sepanyol, Portugis, Itali dan Inggeris.
Waktu pemimpinnya adalah penjajah, ada anak-anak tempatan yang mendapat sedikit
ilmu hasil dididik oleh penjajah. Bila negara dimerdekakan, maka kepada merekalah
negara tersebut diserahkan. Tentulah tidak diserahkan kepada orang yang tidak
ada ilmu.
Penjajah menyerahkan negara itu pada orang-orangnya juga iaitu pada
orang Melayu yang otaknya otak penjajah, orang Indonesia yang berotak penjajah
atau orang Arab yang juga sudah berotakkan penjajah. Dulu penjajah yang tadbir
negara. Sekarang otak penjajah yang ambil alih kuasa. Rupa tidak sama tetapi
perasaan dan otaknya sama dengan penjajah. Hendak tukar rupa susah tetapi otak
dan jiwanya sama saja dengan penjajah. Bila penjajah balik ke negara asal, maka
kepada mereka itulah diserahkan negara.
Bila diserahkan negara kepada orang yang berjiwa penjajah, yang masih berhubung
dengan penjajah, maka mereka bukan hendak bangunkan rakyatnya tetapi semua kekayaan
masuk ke poketnya. Sesetengah negara, bahan mentah dan hasil negara banyak tetapi
tidak maju. Contohnya Indonesia. Orangnya Indonesia tetapi berotak dan berjiwa
Belanda. Buat sedikit untuk negara, yang banyak masuk poketnya. Padahal kalaulah
yang ganti Belanda itu otaknya otak Islam, jiwa Islam, Indonesia sudah membangun.
Kalau yang ambil alih itu berjiwa Islam, Indonesia sudah jadi syurga. Harta
negara banyak. Khazanah negara banyak tetapi tidak dapat dimanfaatkan. Kenapa?
Kerana orang yang pandai-pandai yang menggantikan penjajah itu, otaknya otak
Belanda dan perasaannya perasaan Belanda.
Jadi sebab yang keempat mengapa sesuatu bangsa itu tidak maju ialah kerana kepentingan-kepentingan
pemimpin yang otaknya otak penjajah dan jiwanya jiwa penjajah, memerah hasil
negara itu. Kalau maju pun hanya untuk beberapa kelompok manusia sahaja tetapi
rakyat lain terbiar.
5. Ideologi
Kita boleh lihat, mana-mana negara yang menganut ideologi komunis, negaranya
tidak maju. Bukan mereka tidak boleh berbuat tetapi itu disengajakan. Buktinya
Rusia yang kekuatannya boleh cabar Amerika. Mereka hebat di bidang senjata tetapi
kemajuan yang ada hubungan dengan rakyat, tidak ada. Rakyatnya hidup susah.
Itu ertinya bukan mereka tidak boleh buat sebab terbukti di sudut senjata, ia
boleh cabar Amerika. Begitu juga kapal perangnya. Kemampuan sains dan teknologinya
boleh cabar Amerika tetapi untuk rakyat, tidak ada kemajuan. Kerana begitu kehendak
ajaran komunis. Kerajaan tidak mahu rakyatnya itu bermewah-mewahan. Jadi sebab
kelima mundurnya satu bangsa adalah ditentukan oleh ajaran ideologi.
Begitu juga dengan China komunis. Ia negara yang sangat mundur. Walaupun di
bidang senjata, ia boleh lawan Amerika tetapi rakyatnya masih pakai cangkul
di bendang. Cuba ke negara China. Bendangnya melaut luasnya tetapi mereka masih
pakai cangkul. Bukan mereka tidak pandai tetapi kerana dasar negaranya berfahaman
komunis. Jadi ideologi juga boleh menghalang kemajuan sesuatu bangsa.
6. Kerana sentiasa berperang
Apabila satu negara itu tidak habis-habis berperang maka ia tidak boleh membangun.
Contohnya seperti Afghanistan dan Iraq. Akibat perang, hendak membangun pun
tidak boleh. Kalau sentiasa berperang, tentulah tidak boleh buat pembangunan
dan kemajuan yang baru.
7. Kerana tidak ada perpaduan
Walaupun sesebuah negara itu tidak berperang tetapi kerana tidak ada perpaduan
maka tidak boleh membuat kemajuan. Rakyatnya hidup sendiri-sendiri sedangkan
kemajuan bangsa tidak boleh dibangunkan kecuali kalau ada kerjasama. Mesti ada
rasa bersama dan bertolong bantu. Kalau bangsa itu hidup nafsi-nafsi, tentu
tidak boleh maju. Kemajuan yang canggih tidak boleh dibuat. Yang ada hanya ala
kadar sahaja.
8. Kerana terlalu banyak jenayah di dalam negara
Walaupun tidak berperang tetapi apabila jenayah terlalu banyak dalam negara
maka susah untuk maju. Ramai orang jahat. Sekejap merompak, sekejap membunuh,
sekejap berlaku kes culik. Ini juga mengganggu untuk membangun. Penjenayah-penjenayah
ini mencari makan di projek-projek pembangunan itu. Kadang-kadang dia ambil
pekerjanya. Kadang-kadang dia culik taukenya. Walaupun tidak perang tetapi jenayah
menjadi penghalang satu bangsa untuk maju.
Itulah lapan sebab terbesar mengapa sesetengah manusia tidak boleh maju sedangkan
fitrah manusia sama. Kalau fitrah itu tidak disekat, tidak ada halangan dan
tidak ada cabaran, maka semua manusia boleh membangun. Tetapi lapan halangan
ini membuatkan kemajuan semua bangsa-bangsa di dunia tidak seimbang. Ada yang
maju dan ada yang mundur. Yang lain-lain itu hanya tambahan. Lapan perkara ini
sangat menghalang.
Kalau orang tanya mengapa bangsa tertentu tidak maju, tentulah kita perlukan
ilmu dunia untuk menjawabnya supaya keyakinan orang tebal. Bukan sahaja orang
Islam, bahkan orang bukan Islam pun akan yakin. Kalau ada orang Islam tidak
yakin, ia mengganggu juga perjuangan kita. Takkanlah kita hendak jawab dengan
hukum halal haram atau dengan ayat Al Quran dan Hadis. Perjuangan yang dilagangkan
secara politik atau militan sangat lemah terutama dalam hal-hal ilmu dunia.
Oleh itu setiap pejuang kebenaran semestinya memiliki ilmu dunia dan Akhirat.
Cuba imbas kembali sejarah orang yang terdahulu dari kita di sekitar tahun 50-an
dan 60-an. Guru-guru agamanya sangat alim. Bukan macam sekarang. Walaupun begitu,
kalau ditanya hal-hal dunia, mereka tidak boleh jawab. Begitu juga bila mereka
berhadapan dengan orang besar, mereka tidak boleh bercakap kecuali tentang hukum
hakam dan halal haram. Ketika itu kebanyakan orang seronok dengan cara itu.
Bahkan ada sesetengah orang alim bercakap, "Tengok, Tuhan tipu orang bukan
Islam. Kita hendak makan sayur, Cina tanamkan. Kita hendak naik kapal terbang,
Amerika buatkan." Begitulah pemikiran mereka hingga akhirnya orang bukan
Islam yang menguasai tampuk ekonomi Malaysia.
Inilah antara hujah-hujah mengapa perlunya seorang pejuang mengetahui ilmu dunia
dan tahu cara untuk menggunakannya. Ilmu-ilmu seperti ini tidak ada di dalam
kitab-kitab tetapi Al Quran dan Hadis ada menyarankan agar kita berfikir akan
hal-hal seperti ini.
Sajak
Maju Bersama Ketakutan atau Mundur Bersama Keamanan
Kalau aku disuruh pilih
maju bersama ketakutan
mundur bersama keamanan
Aku memilih mundur bersama keamanan
Kerana tidak adanya keamanan
ia lebih menakutkan
daripada tidak ada kemajuan
Jika memperjuangkan kekayaan
lahir perpecahan dan pergaduhan
Tapi di dalam kemiskinan
lahir kasih sayang dan perpaduan
Aku memilih kemiskinan
Kerana kasih sayang diperlukan setiap masa
oleh setiap manusia dan insan
Ia merupakan makanan jiwa
Apa ertinya kekayaan kalau jiwa menderita
Tidak mengapa miskin jika jiwa bahagia
Kalau aku mempunyai dan memiliki
berbagai-bagai keistimewaan
tapi kehilangan Tuhan
Tapi dapat memiliki Tuhan
hilang segala-gala keistimewaan
Biarlah aku kehilangan segala-gala keistimewaan
Kehilangan segala-galanya tapi memiliki Tuhan
Kehilangan segala-galanya tidak mencacatkan
Tapi kalau kehilangan Tuhan dapat segala-galanya
Segala-galanya sudah tidak memberi erti apa-apa
Kerana kehilangan Tuhan
mendapat kecacatan yang terlalu besar
atau cacat yang maha besar
Segala-galanya tidak akan dapat menampungnya
Jika dapat Tuhan
ia dapat menampung segala-galanya
yang tidak ada
Kerana itulah di dalam kehidupan ini
jangan sampai kehilangan Tuhan
Tuhan adalah segala-galanya
Korbankanlah segala-galanya
demi mendapatkan Tuhan
Jangan korbankan Tuhan
untuk segala-galanya
Kita akan berhadapan dengan kerugian
yang maha besar
No comments:
Post a Comment