KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak
menegaskan tiada sesiapa dalam kalangan rakyat Malaysia yang patut
merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana
nasional.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menegaskan bahawa parti
komponen itu akan berusaha merapatkan hubungan antara rakyat dan
kerajaan daripada terus dikeliru dan terpedaya dengan permainan muslihat
politik pihak-pihak tertentu.
"Kita mesti menanam benih-benih muhibah dan persefahaman di setiap
pelosok tanah air kita, supaya kita boleh terus menuai buah-buah
kemajuan dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia," katanya dalam
halaman terakhir Manifesto BN dengan tajuk "Renungan."
Manifesto BN yang bertajuk 'Menepati Janji, Membawa Harapan' sempena
pilihan raya umum ke-13 dilancarkan Najib di sini Sabtu malam.
"Kita akur, kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan tetapi yang
membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadukan
untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan
penuh gegak gempita menyalahkan orang lain," katanya.
Beliau berkata dalam tempoh 55 tahun memerintah, kerajaan BN adalah
perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional,
bagaimanapun "pihak lain semata-mata kerana hendak berkuasa sanggup
menanam benih-benih konflik dan kebencian."
Najib berharap rakyat Malaysia menilai BN berdasarkan merit, dan terus
bersama-sama beliau serta BN menggembleng tenaga bagi memastikan
Malaysia menjadi sebuah negara maju yang benar-benar dapat dibanggakan.
"Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang
berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua
dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap,"
katanya.
Sementara itu, dalam prakata manifesto itu, Najib berkata sudah tiba
masanya untuk rakyat Malaysia menggunakan kuasa yang ada di tangan
mereka untuk membuat keputusan dan memilih masa depan masing-masing, dan
kuasa rakyat itu mencerminkan pilihan raya yang bebas dan adil.
Katanya rekod kerajaan BN menunaikan janji sudah cukup jelas, daripada
transformasi ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada menjunjung hak
asasi manusia dan demokrasi.
"Perubahan sebenar telahpun berlaku dan dirasai tetapi perjalanan ke arah transformasi sepenuhnya mengambil masa," katanya.
Beliau berkata Dasar Wawasan 2020 untuk mencapai status negara maju
menjelang 2020 dilancarkan pada 1991, dan "selepas 22 tahun saya gembira
menyatakan bahawa dasar-dasar kerajaan BN yang dirancang dengan
berhemat dan prihatin itu telah meletakkan kita pada landasan ke arah
mencapai Wawasan 2020."
Najib yang turut menyatakan ini merupakan kali pertama beliau memimpin
gabungan BN untuk menghadapi pilihan raya umum setelah terlibat dalam
politik sejak 37 tahun dengan "rendah hati memohon mandat dari rakyat
untuk membawa Malaysia ke mercu kegemilangan baharu."
"Saya meminta diberi peluang untuk memimpin sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment